Dunia

Khalil Awawdeh makin kritikal, berisiko mati mengejut

Hilang separuh berat badan, tiada upaya gerak tanpa kerusi roda

RAMALLAH, 16 Muharram 1444H, Ahad – Tahanan Palestin, Khalil Awawdeh yang semakin kritikal kerana mogok lapar selama 154 hari ekoran membantah penahanan pentadbirannya di penjara Israel, berdepan risiko kematian mengejut. 

Jurucakap Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan, Hasan Abed Rabbo berkata, keadaan kesihatan Khalil, 40, semakin merosot, dengan penglihatan kabur dan ketidakupayaan bergerak tanpa kerusi roda. 

Beliau berkata, Khalil juga telah kehilangan separuh daripada berat badannya, malah tidak lagi mengenali isterinya yang datang melawat di hospital Israel Assaf Harofeh, semalam. 

Khalil pernah menghentikan mogoknya pada hari ke-111 bulan lalu, selepas pihak berkuasa Israel menjamin tidak menyambung tempoh penahanan pentadbirannya.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Israel

mengingkari janji mereka untuk tidak menamatkan penahanan itu. 

Pada Khamis, mahkamah tentera Israel membenarkan peguam Khalil dan seorang doktor melawat buat kali pertama bagi  menyediakan laporan perubatan mengenai keadaan kesihatannya untuk dikemukakan ke mahkamah pada Ahad depan.

Bapa kepada empat anak itu telah dipenjarakan sejak 27 Disember 2021 dan telah diletakkan di bawah tahanan pentadbiran, tanpa sebarang pertuduhan dan perbicaraan. 

Pada masa ini, Israel menahan lebih 680 warga Palestin dalam tahanan pentadbiran – yang dianggap tidak sah oleh undang-undang antarabangsa. –  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button