Berita Utama

Beri kebebasan kepada pramugari MAB berpakaian tutup aurat

Pakaian mencolok mata terbukti tak tingkat prestasi perkhidmatan

BANGI, 13 Jamadilawal 1443H, Sabtu – Wanita Islam yang berkerja sebagai pramugari di syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines Bhd (MAB) harus diberikan kebebasan untuk berpakaian sopan dan menutup aurat.

Setiausaha Agung Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ir Ts Lukman Al Hakim berkata, para penumpang MAB juga harus diberikan keselesaan mata dan ketenangan hati dengan dilayan oleh pramugari yang berpakaian sopan serta menutup aurat.

“Pakaian mencolok mata pramugari MAB selama ini terbukti tidak meningkatkan prestasi perkhidmatan dan keuntungan syarikat pun! Kini adalah masa untuk berubah,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, imej serta kualiti perkhidmatan perlu diubah untuk kembali dekat kepada perintah Allah SWT bagi mendapatkan kejayaan dunia dan akhirat.

“Mana tahu ia asbab Allah SWT membantu MAB kembali disegani sebagai gergasi penerbangan di Asia,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman dilaporkan mempersoal pendirian kerajaan mengenai pakaian seragam pramugari Malaysia yang tidak menutup aurat, termasuk hak pramugari Islam yang diwajibkan memakai pakaian seragam yang tidak ‘tutup aurat’.

Bagaimanapun, dua bekas menteri mengecam kenyataan Ahli Parlimen PAS berkenaan yang membangkitkan isu itu dengan mengatakan parti Islam tersebut sudah ketandusan idea.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button