Berita Utama

Pengguna Melayu kena korban bantu perniagaan orang kita

Kempen BMF 'suam' kerana semangat hangat-hangat tahi ayam

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 16 Muharram 1444H, Ahad – Agenda memperkasakan ekonomi umat Islam di negara ini akan terus terbantut sekiranya sokongan daripada pengguna ibarat hangat-hangat tahi ayam.

Justeru, demi memperkasakan semula jihad ekonomi ini, kuasa membeli dalam kalangan pengguna Melayu muslim perlu kembali kepada perniagaan ‘orang kita’, tidak kira dalam bentuk urusan barangan atau perkhidmatan.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, pihak NGO telah menyelaras pelbagai usaha termasuk kempen, bagi membantu ekonomi umat Islam.

Ini termasuk kempen Buy Muslim First (BMF) yang pernah menjadi fenomena, namun ‘suam’ sejak kebelakangan ini akibat semangat sementara pengguna.

“Orang Melayu perlu berkorban lebih sedikit kerana ini adalah sebuah perjuangan.

“Pengguna dan pembeli Melayu muslim perlu diberikan kefahaman akan keadaan ekonomi kita yang semakin meruncing. Ini satu jihad, jihad ekonomi,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu dua pusat beli-belah khusus untuk usahawan muslim – Malakat Mall dan Mara Digital Mall – yang dikatakan sudah semakin suram dan tiada sambutan daripada pengunjung.

Aminuddin berkata, bagi PEMBELA, pertubuhan itu tiada sebarang rancangan khusus untuk memulihkan kembali sambutan dua tempat berkenaan, sebaliknya dalam fasa mahu menyemarakkan semula keseluruhan ekonomi orang Melayu.

Katanya, langkah terbaik untuk menaikkan semula kuasa membeli pengguna Melayu Islam adalah dengan mengembangkan rantaian bekalan dalam kalangan peniaga-peniaga Melayu.

“Dengan itu, kita dapat kawal harga dan bekalan. Pada masa sama, kita perlu bangunkan juga sebuah aplikasi bagi memudahkan pengguna kita.

“Jadi, kerajaan perlu bantu dan media juga memainkan peranan penting untuk tujuan promosi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button