Berita Utama

PM bubar Parlimen jika kajian sikap pengundi menyebelahi BN

'Kita lihat tekanan pada kerajaan semakin bertambah'

KUALA LUMPUR, 16 Muharram 1444H, Ahad – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau akan membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya laporan mengenai kajian sikap pengundi oleh Wanita Barisan Nasional (BN), memihak kepada gabungan itu.

“Bukan saya tak percaya pada yang lain, tetapi laporan kajian oleh wanita ini memang selalunya tepat, dan jika saya terima laporan lengkap kajian sikap Wanita (BN) yang mengatakan BN akan menang (PRU15) saya akan bubarkan Parlimen,” katanya pada sesi Bicara Hati Perdana Menteri pada Konvensyen Wanita BN di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, beliau mempertanggungjawabkan Wanita BN untuk menjalankan kajian sikap itu bukan hanya kepada penyokong BN tetapi juga penyokong gabungan lain dan pengundi atas pagar. 

Langkah ini katanya, bagi mengetahui kekuatan BN pada PRU15 dan memastikan gabungan itu menang dan memerintah kerajaan sepenuhnya.

“Sebab itu, saya bagi tanggungjawab pada Wanita komponen juga untuk lakukan kajian sikap ini, bukan hanya Wanita UMNO, kerana tujuan kita PRU kira nak menang dan memerintah, jika laporan meyakinkan, saya akan berbincang dengan Top five untuk bubarkan Parlimen,” katanya pada sidang media selepas sesi Bicara Hati Perdana Menteri itu.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, Wanita BN perlu terus menjadi lidah kerajaan untuk menyampaikan maklumat tepat kepada akar umbi. 

Katanya, ini kerana, banyak fakta telah dikelirukan oleh pembangkang dan menjadi peranan jentera Wanita untuk memperbetulkan kesilapan tersebut. 

“Dalam PRU bukan emosi yang akan tentukan kemenangan tetapi fakta. Hari ini, kita lihat tekanan pada kerajaan semakin bertambah. Yang penting bagaimana kita jawab, jangan kita biar tanpa menjawab,” tegas beliau.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa kekuatan Wanita BN perlu diperkukuhkan untuk menghadapi senario politik yang semakin mencabar.

Malah, Wanita BN juga diingatkan agar tidak sekali-kali memandang rendah akan kebolehan lawan.

“Saya yakin dengan semangat wanita BN, kita mampu kekalkan kuasa dengan kerjasama dari Wanita,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button