Berita UtamaDunia

3 tentera Syria terbunuh dibedil peluru berpandu Israel

Tiga lagi cedera dalam serangan terbaharu rejim Zionis

DAMSYIK, 17 Muharram 1444H, Isnin – Serangan udara negara haram Israel ke atas Syria membunuh tiga tentera dan mencederakan tiga yang lain.

Agensi berita rasmi Syria, SANA, memetik sumber tentera sebagai berkata, serangan terbaharu Israel pada Jumaat menyasarkan tapak di kawasan luar bandar di sekitar ibu kota Damsyik dan selatan wilayah pantai Tartus.

Katanya, sistem pertahanan udara Syria telah memintas beberapa peluru berpandu.

Sementara itu, Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) mengesahkan jumlah sama yang terbunuh dan cedera akibat serangan berhampiran pangkalan pertahanan udara di wilayah Tartus, di mana kumpulan yang disokong Iran aktif.

“Tapak yang disasarkan di Tartus terletak lapan kilometer (lima batu) dari pangkalan Russia,” katanya yang mempunyai rangkaian luas sumber di Syria.

Pemantau perang itu berkata, ambulans telah bergegas ke lokasi kejadian serangan di Tartus.

Sejak perang saudara meletus di Syria pada 2011, Israel telah melakukan ratusan serangan udara di negara itu, menyasarkan kedudukan kerajaan serta tentera sekutu yang disokong Iran dan pejuang Hizbullah.

Pada Julai lalu, Kementerian Pertahanan Syria berkata, serangan Israel yang dilakukan dari Laut Mediterranean berhampiran bandar al-Hamadiyah, selatan bandar Tartus, telah mencederakan dua orang awam.

Konflik di Syria bermula dengan penindasan kejam terhadap demonstrasi aman dan meningkat kepada perang proksi global.

Hampir setengah juta orang terbunuh dan kira-kira separuh daripada penduduk sebelum perang negara itu telah melarikan diri dari rumah mereka.

Campur tangan ketenteraan Russia pada 2015 membantu menjadikan perang memihak kepada Presiden Syria Bashar al-Assad, yang tenteranya pernah hanya menguasai satu perlima negara itu.

Sebelum ini Balai Cerap berkata, serangan udara Russia membunuh tujuh orang, empat daripadanya kanak-kanak, di wilayah Idlib yang dikuasai pemberontak Syria, di utara negara berkenaan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button