Pendapat

Hati mana tak tersentuh dengan mesej Forestieri

Karipap yang dibuang ibarat emas bagi orang miskin

PERLAWANAN Liga Super Sabah vs JDT di Stadium Likas pada 15 Julai lalu rupanya ada mesej besar kemanusiaan.

Perlawanan terikat 1-1, sehinggalah pada minit ke 95:21, Fernando Forestieri, penyerang sensasi JDT dari Argentina menjaringkan gol kemenangan buat JDT. Saya boleh bayangkan ecstacy dan stress penyokong Sabah di saat-saat akhir itu.

Ketika seluruh pasukan JDT sibuk meraikan, ada karipap dibaling ke gelanggang. Fernando Forestieri mengutip karipap di lantai, lalu pergi ke kamera dan berkata, “With food, you don’t play because people don’t have food to eat”.

Aduh. Malunya tak tertanggung.

Rakyat Malaysia sekalian, mari kita ambil beberapa minit membiarkan rasa malu meresap masuk ke sanubari, urat saraf dan sum-sum tulang kita.

Bukankah junjungan besar kita, Rasulullah ﷺ mengajar kita agar bersikap luar biasa particular terhadap makanan?

Suatu ketika Rasulullah ﷺ bermalam di tempat Aisyah RA. Baginda melihat sepotong pecahan kuih, lalu mengambilnya, mengusapnya, dan memakannya. Kemudian, beliau bersabda, ”Berlaku baiklah kalian kepada serpihan nikmat-nikmat Allah. Jangan kalian menyia-nyiakannya. Jika ia hilang dari suatu kaum, ia tidak akan kembali kepada mereka.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi dari Anas bin Malik, statusnya dhaif). (Rujukan Matan Arab: https://dorar.net/h/9819561c707da1d0cab4ec7147cd8038)

Tahukah anda, 8.6% penduduk Malaysia dikategorikan miskin, iaitu pendapatan isi rumahnya bawah RM2,208? Tongod, Pitas dan Kota Marudu yang terletak di Sabah dikenal pasti sebagai tiga daerah termiskin negara ini, dan kadar kemiskinan di tiga daerah ini adalah kira-kira 50% (Menteri JPM, 2021).

Kita mungkin makan cukup, tetapi tahukah kita bahawa masih ada nasi goreng dan telur yang dijual pada harga 20 sen? Inilah makanan orang miskin. Tahukah anda, berapa gaji orang miskin? Mereka hanya dapat RM300/bulan.

Bayangkan apa perasaan mereka bila melihat makanan dibazirkan. Rupanya karipap yang dibuang adalah emas bagi orang miskin.

Fernando Forestieri yang bergaji RM3juta setahun (anggaran) pun tahu nilai sepotong karipap. Apakah kita buta, tuli, pekak dan bisu? Apakah hati kita keras membatu?

Siapa yang baling karipap, itu tak penting. Secara umumnya, bila penyokong tak puas hati, banyaklah yang dicampaknya, tanpa mengira penyokong kelab mana pun.

Besarkanlah nikmat Allah dengan hatimu, dan syukurilah ia dengan lisanmu, walaupun ia hanya serpihan makanan. Mereka yang membesarkan nikmat Allah, sebenarnya sedang membesarkan sang pemberi nikmat.

Bilal Jailani
YDP ISMA Bangi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button