Berita Utama

Isu LCS: Bekas pegawai kanan BNS jangka didakwa esok

Didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan pecah amanah

BANGI, 17 Muharam 1444H, Isnin – Seorang bekas pengarah urusan di syarikat pembuat kapal, Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, esok berkaitan projek kapal tempur pesisir (LCS).

Akhbar The Star memetik sumber sebagai berkata, individu terbabit akan didakwa dengan pertuduhan pecah amanah berkaitan kes perolehan LCS yang sepatutnya dimiliki Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Ia susulan satu jemputan media oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dikeluarkan hari ini memaklumkan seorang individu bakal didakwa kira-kira 9 pagi Selasa.

Kes berkenaan menjadi perhatian selepas Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendapati lima kapal yang ditempah pada 2013 gagal disiapkan sehingga sekarang walaupun RM6 bilion sudah dibayar.

Khamis lalu, SPRM dalam satu kenyataan menyebut, pihaknya sudah mengemukakan kertas siasatan dakwaan penyelewengan dalam pengendalian projek pembinaan LCS kepada Jabatan Peguam Negara.

SPRM dalam masa sama turut memaklumkan, kertas siasatan telah lengkap disediakan membabitkan beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

“Kertas siasatan sudah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara dengan saranan SPRM untuk mempertimbangkan pertuduhan terhadap beberapa individu,” katanya.

Projek pembinaan LCS adalah perolehan terbesar dalam sejarah Kementerian Pertahanan, dengan kos keseluruhan RM9 bilion bagi tempoh bermula 2013 dan dijangka siap dalam masa 10 tahun.

PAC dalam laporannya sebelum ini menyatakan, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada BNS yang dilaksanakan secara runding terus, namun tiada kapal yang diterima setakat ini.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh mendedahkan, lebihan kos projek LCS berjumlah RM1.4 bilion dengan RM400 juta digunakan untuk membayar hutang lama daripada projek kapal peronda lama.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button