Kempen BMF berjaya himpunkan 3,500 pemilik produk baharu di seluruh negara
Terus jejak 10,000 produk dalam rancakkan e-commerce BMF, Warongku

Oleh Zuhayati Yazid
BANGI, 17 Muharam 1444H, Isnin – Kempen Buy Muslim First (BMF) terus dipertingkatkan dengan pelbagai program dan terkini berjaya menghimpunkan 3,500 pemilik produk baharu yang terdiri daripada penjaja dan peniaga kecil.
Ketua Prasarananya, Mohd Nor Izzat Mohd Johari berkata, kempen BMF yang pernah menjadi fenomena pada 2019 dengan mengutamakan membeli barangan keluaran umat Islam tidak pernah gagal dan masih berjalan, selain menggalak orang Islam membeli produk buatan muslim tempatan.
“Terbaharu, sebanyak 3,500 pemilik produk baharu tempatan yang terdiri daripada pemilik produk, penjaja dan peniaga kecil yang diperoleh hasil daripada Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia yang diadakan di seluruh negara.
“Kesemua peniaga-peniaga ini akan diberi perhatian terutama dalam proses pendigitalan perniagaan mereka.
“Jadi apa yang diusahakan ini adalah salah satu usaha mengangkat perniagaan melalui e-Commerce BMF iaitu Warongku, platform yang mencari pemilik produk tempatan muslim keseluruhan negara,” kataya kepada Ismaweb.net, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Izzat yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia menjelaskan, sehingga kini pihaknya terus menjejak lebih 10,000 pemilik produk, penjaja dan peniaga kecil dalam merancak lagi platform e-Commerce BMF, Warongku.
Katanya, perkara berkenaan selari dengan hasrat Kementerian Pembangunan Usahawan yang komited mendigital perniagaan yang ada dalam negara.
Dalam pada itu, katanya, kempen BMF juga masih diberikan perhatian dan antara pihak-pihak terus memberi sokongan serta terus istiqamah adalah negeri Pahang yang sentiasa memasukkan saranan mengutamakan produk buatan Islam dan tempatan dalam khutbah kedua setiap solat Jumaat .
Katanya, sokongan berkenaan jelas membuktikan kempen tersebut masih berlanjutan sehingga kini dan akan tetap diteruskan sehingga 2030.
Katanya lagi, pihaknya masih mengharapkan sokongan semua pihak dalam menjayakan kempem BMF yang berterusan demi mengangkat produk buatan Islam di Malaysia dan juga di dunia.