Berita Utama

KPM pastikan projek naik taraf sekolah daif siap seperti dirancang

Dua sekolah di Kota Belud rasmi bangunan baharu

BANGI, 17 Muharram 1444H, Isnin – Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa berusaha memastikan pelaksanaan projek pembangunan dan menaik taraf sekolah daif yang telah diluluskan dapat disiap seperti dirancang.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, ini bagi memastikan kemudahan dan fasiliti sekolah sentiasa berada dalam keadaan selamat serta kondusif.

Beliau berkata, ini sekali gus dapat menjamin proses pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar.

“Pagi ini saya ke SK Ulu Kukut, Kota Belud bagi meninjau dan merasmikan bangunan baharu yang dinaik taraf menggantikan bangunan lama.

“Projek gantian ini melibatkan pembinaan enam bilik darjah, bangunan pentadbiran, makmal sains serta beberapa kemudahan lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Radzi berkata, beliau turut ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sarang iaitu antara sekolah mempunyai projek penggantian bangunan lama yang telah siap sepenuhnya.

Katanya, pembinaan bangunan ganti itu membabitkan enam unit bilik darjah, dua unit rumah guru, bangunan pentadbiran, makmal sains dan juga kemudahan lain.

“Semasa tinjauan, saya ditemani adik Joel dan adik Mariana yang bertindak selaku ‘tour guide’ menerangkan keadaan sekolah serta infrastruktur yang memerlukan perhatian atau penambahbaikan. Terima kasih kerana menemani pakcik.

“KPM akan terus memberi tumpuan terhadap pembangunan atau penggantian infrastruktur sekolah daif dilaksanakan sebaiknya mengikut keutamaan demi kesejahteraan pendidikan generasi anak-anak pewaris negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button