Berita Utama

LCS: Rakyat musykil cara pilih syarikat terbabit ‘direct nego’

Desak kerajaan bentang kriteria pada umum elak rugi berganda

BANGI, 17 Muharram 1444H, Isnin – Parti BERJASA menggesa supaya kriteria syarikat terbabit dalam rundingan terus untuk setiap projek kerajaan dibentangkan segera untuk pengetahuan umum.

Ini kerana, rakyat musykil terhadap cara pemilihan syarikat yang tidak mampu menepati perjanjian ditetapkan, meskipun amalan rundingan terus atau ‘direct nego’ dalam sesuatu projek kerajaan bukan perkara baharu.

Justeru, bagi mengelakkan kerugian berganda di masa hadapan, Ketua Penerangan BERJASA, Hazwan Mohamad berkata, kerajaan wajar membentangkan segera kriteria syarikat yang dirunding terus untuk setiap projek selepas ini.

“Walaupun projek ini berkaitan sistem keselamatan negara, namun kerasukan pemimpin UMNO sangat tidak munasabah.

“Di bawah kepimpinan kerajaan PH pula, sejumlah 101 projek bernilai RM6.61 bilion telah diluluskan juga secara rundingan terus.

“Jadi, apa kriteria setiap pemilihan syarikat ini sehingga ianya dirunding terus?,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas mengenai isu kapal tempur pesisir (LCS), beliau berkata, sejumlah berbilion ringgit sudah dibelanjakan, namun sehingga hari ini tiada satu pun diterima.

Projek LCS secara dasarnya terhenti atas pelbagai faktor pada 2019, namun kerajaan memutuskan menyambungnya semula berdasarkan opsyen paling murah, katanya.

“Namun, jangan pernah lupa tentang isu LMS buatan China yang mengalami kerosakan walaupun penggunaannya baru sahaja beberapa bulan setelah diterima oleh TLDM.

“‘Opsyen paling murah’ adalah sangat tidak masuk akal jika dibandingkan dengan kualiti pertahanan negara yang diperlukan,” katanya.

Isu projek pembinaan LCS mencetuskan pelbagai polemik selepas laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyatakan kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) yang dilaksanakan secara runding terus, namun setakat ini tiada kapal diterima.

Pada masa sama, laporan turut mendedahkan lebihan kos projek LCS berjumlah RM1.4 bilion dengan RM400 juta digunakan untuk membayar hutang lama daripada projek kapal peronda lama.

Projek pembinaan LCS adalah perolehan terbesar dalam sejarah Kementerian Pertahanan dengan kos keseluruhan RM9 bilion dan kontak projek berkenaan yang bermula 2013 itu dijangka siap dalam masa 10 tahun.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button