Berita Utama

Parti politik Melayu perlu banyak muhasabah

Pengalaman luas bukan faktor bebas dari buat silap

BANGI, 17 Muharram 1444H, Isnin – Demi kepentingan parti politik serta undi, tidak mustahil prinsip boleh digadaikan dan maslahat umat dicampakkan.

Pemerhati politik, Mohd Lutfi Abdul Khalid berkata, bilangan angka majoriti, terbesar, dominan tidak semestinya sinonim dengan bersama haq atau syarie.

Sementara kecil dan sedikit juga katanya, tidak selalunya bermaksud lemah atau kalah.

“Umur yang panjang dan pengalaman luas tidak selalu menjadikan seseorang itu matang atau bebas dari kesilapan.

“Ia malah boleh melahirkan keangkuhan dan kesombongan.

“Parti-parti politik berwajah Islam dan Melayu perlu membiasakan diri dengan muhasabah dan dimuhasabah,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau.

Terdahulu, PAS menyifatkan tindakan ‘berkawan’ dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerusi Perikatan Nasional (PN) bukan kesilapan namun dibuat selepas mengambil kira penyatuan ummah.

Malah, ia dibuat kerana berteraskan kepada ketetapan harus memilih satu-satu kelompok tertentu sahaja.

Dalam pada itu, Mohd Lutfi membangkitkan persoalan mengenai tindakan PAS sebelum ini yang mengadakan tahaluf siyasi bersama DAP.

“Adakah berkawan dengan parti rasis cauvinis DAP melalui apa yang dipanggil Tahaluf Siyasi juga bukan satu kesilapan?

“Apa sudah jadi dengan hubungan ‘ukhuwwah’ tersebut.

“Masih mesra dan akrab lagikah? Sudah tercapaikah maslahat agama dan umat?” soalnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button