Berita Utama

PAS sangkal dakwaan membisu isu pemimpin PH berbanding UMNO, BN

PAS tak diajar untuk bekerja sebarkan persepsi dan fakta tidak jelas: Ahmad Fadli

BANGI, 17 Muharam 1444H, Isnin – PAS membidas sesetengah pihak yang mendakwa parti itu menjadi ‘bisu’ setiap kali isu melibatkan pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang dibangkitkan di Dewan Rakyat, sebaliknya lebih ‘semangat’ membahaskan kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari menegaskan, PAS tidak diajar untuk bekerja menyebarkan persepsi dan fakta tidak jelas, tetapi apa dituntut ialah membawa kes-kes berkenaan ke siasatan yang adil, telus serta mempunyai punca kuasa jelas.

“Apabila ia didakwa di mahkamah, serahkan kepada mahkamah. Seseorang yang belum didapati bersalah tidak boleh dikatakan bersalah, itu prinsip.

“Untuk rekod, saya pernah bangkitkan di Dewan Rakyat berhubung isu pembelian banglo bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pada Ogos 2020,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bahkan Ahli Parlimen Pasir Mas itu menjelaskan, beliau sendiri pernah mempertikai kenyataan Guan Eng pada 2018 semasa Ahli Parlimen Bagan itu menjadi Menteri Kewangan berhubung faktanya mengatakan Kelantan tidak mampu membayar gaji kakitangan.

“Terbaru apabila Lim Guan Eng bangkit di Dewan Rakyat dua minggu lepas mempertikaikan kenyataan menteri agama dalam isu Oktoberfest dan Bon Odori, saya juga bangkit mengajukan soalan tambahan dalam masa yang sama membantah fakta yang dibawa oleh Ahli Parlimen Bagan tersebut.

“Ini belum mengambil kira perbahasan yang menyentuh isu-isu lain melibatkan pimpinan PH dan juga perbahasan Ahli-Ahli Parlimen PAS yang lain di Dewan Rakyat yang sentiasa menyentuh isu-isu integriti,” tegas beliau lagi.

Beliau pada masa sama melahirkan rasa hairan kenapa pengikut-pengikut parti tertentu sangat ‘trigger’ dengan isu-isu yang melibatkan duit rakyat.

Malah, beliau menjelaskan, adakah apabila dibangkitkan isu-isu seperti itu secara automatik pemimpin parti mereka akan dianggap terlibat.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli menjelaskan keadaan sama berlaku apabila melibatkan isu kapal tempur pesisir pantai (LCS), PAS telah meminta siasatan yang adil dan membawa isu tersebut ke mahkamah jika ada bukti penyelewengan.

“Tidak timbul lagi nama-nama tokoh tertentu yang didakwa bertanggungjawab. Jika ada pihak lain bangkitkan, jangan dikaitkan dengan PAS kononnya kami turut sama memfitnah.

“Siasatlah dulu. Secara logiknya, mana mungkin perjanjian berat sebelah mengakibatkan RM6 bilion duit rakyat ini dirangka dengan begitu sekali longgar jika tiada pihak membuat keuntungan?,” soalnya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button