Berita Utama

Peguam Najib persoal hakim perbicaraan kes SRC International

Rayuan sepatutnya ditangguhkan sehingga siasatan terhadap peranan Hakim selesai

PUTRAJAYA,17 Muharram 1444H, Isnin – Mahkamah Persekutuan hari ini diberitahu bahawa terdapat bahaya jelas terhadap keadilan, dalam merujuk kepada hakim yang mempengerusikan perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd, yakni Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Peguam utama Datuk Seri Najib Tun Razak, Hisyam Teh Poh Teik berhujah bahawa sebagai pekerja jangka panjang Maybank, tingkah laku hakim Mahkamah Tinggi (Mohd Nazlan) sebelum ini, juga boleh memberi alasan kepada orang yang munasabah untuk mempercayai bahawa dia tidak boleh bertindak dengan fikiran yang objektif.

Hisyam berhujah demikian dalam usul Najib untuk mengemukakan bukti baharu kes SRC International dalam usahanya untuk mendapatkan perbicaraan semula, di hadapan panel lima anggota yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Bukti tambahan yang ingin dikemukakan oleh Najib adalah berkaitan dengan penemuan baru-baru ini bahawa hakim perbicaraan (Mohd Nazlan) pada tahun 2006, ialah peguam am dan setiausaha syarikat bagi Kumpulan Maybank, yang mempunyai tanggungjawab keseluruhan muktamad untuk pengurusan dan pentadbiran semua jabatan undang-undang seluruh kumpulan itu.

Dalam mengetengahkan isu konflik kepentingan yang serius, pihak pembelaan berhujah bahawa pihak berkuasa penyiasat telah menyembunyikan atau gagal untuk mendedahkan bahan yang akan membolehkan Najib membangkitkan bantahan berdasarkan konflik kepentingan hakim bicara pada peringkat awal prosiding.

Hisyam juga berhujah bahawa pendengaran rayuan sepatutnya ditangguhkan sehingga satu tempoh masa, sehingga siasatan terhadap peranan Hakim Mohd Nazlan selesai.

Mahkamah juga memberitahu bahawa pihak pendakwaan tidak mengemukakan bukti berkaitan hakim Mohd Nazlan yang dikatakan memiliki konflik kepentingan itu kepada pihak pembelaan semasa perbicaraan yang dimulakan pada April 2019.

Peguam itu berkata jika tidak kerana surat tanpa nama penghantar yang disampaikan kepada Najib antara 9 Mei dan 7 Julai – didakwa mengandungi bukti baharu, maka pasukan pembelaan tidak akan menyedari kewujudan perkara itu.

Beliau seterusnya berkata bahawa anak guamnya pada masa itu tidak mengetahui tentang dakwaan pengetahuan dan penglibatan hakim Mohd Nazlan dalam penubuhan SRC melalui kedudukannya (Nazlan) sebagai peguam am Maybank Investment.

Terdahulu, Hakim Tengku Tun Maimun membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk meminda notis usul Najib bagi mengemukakan bukti baharu sebelum meneruskan mendengar usul itu.

Lain-lain anggota panel hakim yang mendengar rayuan Najib bagi mengemukakan bukti baharu kes berkaitan SRC International hari ini terdiri daripada Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan serta Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Sekiranya Najib gagal dalam permohonan ini, Mahkamah Persekutuan dijangka meneruskan pendengaran rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhi oleh hakim Mahkamah Tinggi sebelum ini Hakim Mohd Nazlan pada 28 Julai 2020.

Pendakwa Raya Utama Datuk V. Sithambaram akan mengemukakan jawapan kepada penghujahan pembelaan selepas rehat tengah hari. Sesi mahkamah akan disambung semula pada pukul 2 petang. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button