Berita Utama

Perpecahan punca orang Melayu terpaksa berdagang dalam politik sendiri

Transformasi perlu dilakukan termasuk tampil orang muda dalam PRU15

BANGI, 17 Muharam 1444H, Isnin – Perpecahan parti politik adalah punca utama orang Melayu tidak dapat menjadi teras dalam kepimpinan negara sekali gus memaksa mereka berdagang dalam politik sendiri.

Pandangan berkenaan disuarakan veteran politik, Tan Sri Syed Hamid Albar yang melihat penyatuan politik mampu menyelamatkan keadaan sekiranya orang Melayu mahu menjadi teras dalam kepimpinan negara.

“Orang Melayu semua suka parti, sama ada parti untuk suka-suka atau parti politik, kalau mahu jadi mantap (parti politik) tidak boleh ada perpecahan.

”Jadi orang Melayu kena tentukan, kalau mahu jadi teras pada pimpinan, mereka perlu mewujudkan penyatuan.

“Kalau tidak ada perkara ini, orang Melayu kena berdagang politik dan berdagang ini tidak bagus,” katanya seperti dipetik akhbar tempatan, hari ini.

Katanya, semua itu terbukti selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), parti-parti Melayu berpecah kepada beberapa antaranya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Atas dasar itu, Syed Hamid menjelaskan, transformasi perlu dilakukan termasuk dari segi calon dengan menampilkan orang muda pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

”Perlu ada calon PRU15 terdiri daripada orang muda, ‘segar’ dan ada idea untuk menyumbang kepada pembangunan negara.

“Orang lama ini boleh ada untuk beri nasihat dan panduan tetapi bukan lagi memainkan peranan utama,” katanya.

Tegas bekas Menteri Luar itu, kombinasi orang lama dan muka baharu di dalam PRU15 diyakini dapat mewujudkan sinergi hebat dalam setiap parti.

Malah, beliau berpandangan, semua pihak perlu sedar orang muda perlu diberi ruang dan peluang kerana ini masa mereka.

”Biarlah 80 peratus calon terdiri daripada orang muda yang tidak pernah bertanding dalam pilihan raya, lebih baik lagi yang tidak ada rekod.

“Kita mesti kena sedar ini adalah zaman orang muda, bila lagi kita nak beri peluang pada mereka,” tegas beliau.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button