Dunia

Tempoh penjara Aung San Suu Kyi ditambah enam tahun lagi

Pemimpin diguling itu didapati bersalah dalam empat kes rasuah

NAYPYTAW, 17 Muharam 1444H, Isnin – Mahkamah Myanmar menjatuhkan hukuman penjara enam tahun ke atas pemimpin yang digulingkan, Aung San Suu Kyi pada Isnin selepas didapati bersalah dalam empat kes rasuah.

Menurut sumber, Suu Kyi didapati bersalah kerana menyalahgunakan dana dari Yayasan Daw Khin Kyi – sebuah organisasi yang diasaskannya untuk mempromosi kesihatan dan pendidikan – bagi membina rumah dan memajak tanah milik kerajaan di bawah harga nilai.

Penerima Anugerah Nobel berusia 77 tahun itu telah didakwa dengan sekurang-kurangnya 18 pertuduhan rasuah dan pencabulan pilihan raya yang membawa hukuman penjara maksimum hampir 190 tahun.

Sebelum ini, Suu Kyi menafikan semua pertuduhan dan menyifatkannya sebagai tidak masuk akal.

Beliau yang kini ditahan dalam sel sendirian di penjara di Naypyitaw telah pun dijatuhkan hukuman penjara 11 tahun untuk kes lain.

Myanmar bergolak sejak tahun lalu apabila tentera menggulingkan kerajaan yang dipilih diketuai parti pimpinan Suu Kyi, selepas ia memenangi pilihan raya umum.

Pergolakan lebih tegang apabila tentera mengenakan tindakan keras terhadap rakyat yang menentang pemerintahan junta.

Berpuluh-puluh ribu rakyat dipenjarakan dan ramai diseksa, dipukul atau dibunuh – tindakan yang disifatkan sebagai jenayah kemanusiaan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button