Berita Utama

Tiada unsur buli di MRSM Kuantan

Polis rakam percakapan mereka terlibat untuk bantu siasatan

BANGI, 17 Muharam 1444H, Isnin – Polis Pahang mengesahkan tiada sebarang unsur gengsterisme yang wujud dalam dakwaan kes buli membabitkan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan, seperti tular, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan dijalankan pihak polis berhubung laporan dibuat ibu kepada pelajar terbabit.

Bagaimanapun, katanya, kes berkenaan hanya disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan khianat terhadap pelajar terbabit.

“Kita sudah merakam percakapan mereka yang terlibat seperti guru-guru, pelajar-pelajar termasuk ibu mangsa bagi membantu siasatan kes itu.

“Jadi, siasatan awal mendapati tidak wujud sebarang unsur gengsterisme dalam kejadian ini,” katanya.

Terdahulu, Wan Mohd Zahari menjelaskan, dua laporan diterima daripada ibu mangsa dan warden MRSM berhubung kes itu.

Jumaat lalu, seorang ibu kepada pelajar sekolah berkenaaan, Nazrah Mohamed meluah kekecewaan di Facebook miliknya berhubung tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak pengurusan MRSM Kuantan selepas mendakwa berlaku kes buli membabitkan anak perempuannya yang berusia 14 tahun.

Dalam hantaran tersebut, ibu mangsa turut berkongsi beberapa bukti termasuk baju sekolah anaknya yang diconteng, nota tangan diterima anaknya serta kesan rambut digunting ketika tidur.

Dalam pada itu, polis Kuantan menasihatkan orang ramai supaya tidak memuat naik sebarang hantaran dan perkongsian yang boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

Pautan berkaitan;
https://ismaweb.net/2022/08/13/polis-terima-dua-laporan-kes-buli-di-mrsm-kuantan/

Kembalikan hak guru disiplin merotan elak kes buli

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button