Berita Utama

Daftar pemilih tambahan Julai dibuka untuk semakan: SPR

40,989 warganegara didaftar secara automatik sebagai pemilih baharu

BANGI, 18 Muharam 1444H, Selasa – Daftar Pemilih Tambahan Bulan Julai Tahun 2022 (DPT BLN7/2022) yang telah diperaku dan diwartakan, kini dibuka untuk semakan bagi tempoh 30 hari bermula hari ini hingga 14 September.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan hari ini berkata, DPT7/2022 mengandungi nama bagi 40,989 warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 Julai hingga 31 Julai lepas, yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.

Beliau berkata, DPT7/2022 juga turut membabitkan sejumlah 13,481 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 4,116 pemilih bertukar status atau kategori pengundi.

Untuk semakan, beliau berkata, SPR menyediakan lima kaedah iaitu melalui portal SPR di pautan http://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my dan portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my.

Selain itu, semakan juga boleh dilakukan menerusi aplikasi dalam talian di https://myspr.spr.gov.my, aplikasi mudah alih MySPR dan hotline SPR di talian 03-88927018.

“SPR menyeru kepada warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 Julai hingga 31 Julai 2022 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN7/2022.

“Sekiranya mereka mendapati namanya tidak disenaraikan dalam DPT BLN7/2022, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya boleh mengisi Borang D (bantahan) dan hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

“Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun daripada portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN7/2022,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button