Berita Utama

Sejauh mana pelaksanaan PBS selepas PT3 dimansuh?

Elak timbul isu, i-Guru mahu KPM beri penjelasan mansuh PT3

BANGI, 6 Zulkaedah 1443H, Isnin – Pemansuhan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) satu keputusan wajar dan signifikan mengambil kira perubahan di dalam sistem pendidikan negara dan global.

Bahkan, hasrat Kementerian Pendidikan (KPM) untuk melihat kemenjadian murid secara holistik serta selari dengan matlamat Falsafah Pendidikan Negara adalah amat dialu-alukan.

Namun, timbul beberapa persoalan sejauh mana pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) nanti sebagaimana yang dipertegaskan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mencapai objektif yang dihasratkan.

Dalam hal ini, Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) berpandangan, pihak KPM perlu memberi penjelasan terperinci kepada semua warga pendidik sebab pemansuhan PT3 dan bagaimana melaksanakan PBS melalui Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) secara berkesan sebagai ganti pemansuhan itu.

Presidennya, Ustaz Mohd Azizee Hassan berkata, meskipun langkah pemansuhan itu dianggap bertepatan pada masanya, namun jika tidak difahami warga guru ia akan menimbulkan isu dan masalah lain.

Sehubungan itu, beliau menyarankan pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) kerap turun padang membimbing warga guru bagi memastikan pelaksanaan PBS dapat dijayakan dengan sebaiknya.

Katanya, agenda PBS perlu dijadikan fokus di peringkat JPN dan PPD untuk melihat aspek pelaksanaan, penambahbaikan sistem dan intervensi program agar hasrat pentaksiran ini memenuhi keperluan yang sebenar.

Antara fokus penting kejayaan pelaksaan PBS ialah meningkatkan kualiti profesionalisme pengajaran guru melalui latihan dan bimbingan berterusan berkaitan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dari pihak PPD dan JPN.

“Mempelbagaikan kaedah Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) dengan mengambil kira kepelbagaian dan gaya belajar murid, guru juga perlu meningkatkan kualiti pengajaran dan pentaksiran dengan penguasaan kemahiran teknologi dan pembelajaran digital.

“Memberikan autonomi kepada guru dalam menentukan bentuk dan aras pentaksiran kerana mereka lebih memahami murid mereka sendiri. Mengaktifkan Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) di sekolah sebagai medium perkongsian ilmu dan kemahiran.

“Panitia perlu digerakkan secara aktif dan berkolaborasi sesama panitia lain,” katanya dalam kenyataan.

Turut termasuk memanfaatkan guru cemerlang sebagai guru pembimbing utama di sekolah atas kepakaran subjek mereka, selain pemantauan berterusan dari pihak pengurusan sekolah untuk memastikan keberkesanan PBS.

“Kerjasama ibu bapa melalui saranan mereka untuk membantu pentaksiran ini dengan memberikan info berkaitan anak masing-masing serta cadangan penambahbaikan seperti program intervensi akademik dan sebagainya,” katanya.

Ustaz Azizee berkata, PBS perlu difahami, ia bukanlah semata-mata pentaksiran akademik sahaja tetapi merangkumi komponen bukan akademik iaitu Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Pentaksiran Psikometrik (PPsi).

“Atas asas itu kejayaan PBS bergantung kepada sejauh mana warga guru memahami konsep PBS yang sebenarnya.

“Pelaksanaan PBS nanti tidak wajar dilihat menambah beban tugas guru dengan tugas-tugas berbentuk pengkeranian tetapi ia adalah satu mekanisme bersepadu untuk mengembang bakat dan potensi murid bagi mendepani cabaran masa depan.

“Ini adalah langkah strategik untuk menyiapkan generasi yang kompeten, berdaya saing serta memiliki kepelbagaian kecekapan dalam berdepan apa jua situasi dan kondusi terutama di era revolusi industri 4.0 (IR4.0) dan VUCA,” katanya.

Pautan terdahulu;
https://ismaweb.net/2022/06/03/pentaksiran-terbaik-nilai-segala-potensi-tersembunyi-pelajar-presiden-isma/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button