Berita Utama

JHEAINPP siasat terperinci peniaga didakwa ambil bekalan nasi ayam dari bukan Islam

Orang ramai tak puas hati, persoal status halal makanan

GEORGETOWN, 18 Muharam 1444H, Selasa – Siasatan terperinci akan dibuat hari ini ke atas perniagaan nasi ayam dan nasi itik di Sungai Ara, Bayan Lepas yang tular selepas didakwa mengambil bekalan daripada premis perniagaan bukan Islam.

Jurucakap Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP) berkata, pihaknya sudah pun menjalankan siasatan berhubung perkara itu semalam.

“Namun, semakan dengan lebih terperinci perlu dijalankan lagi bersama beberapa agensi lain terhadap peniaga berkenaan hari ini,” katanya seperti dilapor Kosmo.

Dilaporkan, sekumpulan penguat kuasa yang terdiri daripada JHEAINPP, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah menjalankan soal siasat terhadap dua lelaki di hadapan sebuah premis di kompleks membeli-belah di sini pada tengah tadi.

Terdahulu, tular klip video berdurasi dua minit 38 saat yang menunjukkan dua lelaki dipercayai peniaga nasi ayam dan itik yang dijual di gerai di Sungai Ara memasuki sebuah restoran bukan Islam di Paya Terubong untuk menghantar perkakasan bahan masakan.

Perkara itu telah mencetuskan persoalan dan ketidakpuasan hati dalam kalangan orang muslim, terutamanya pelanggan yang pernah membeli juadah nasi ayam di kedai terbabit.

Difahamkan, setelah tular video tersebut, pemilik gerai telah menutup perniagaan mereka selepas dinasihati penduduk berdekatan.

Meskipun peniaga berkenaan telah tampil menjelaskan situasi tersebut menerusi satu paparan video di laman Facebook yang menafikan mereka mengambil bekalan makanan itu di kedai peniaga bukan muslim, orang ramai masih tidak meyakini status halalnya dan menggesa agar siasatan terperinci dilakukan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button