Kawal selia dana politik: Sebuah badan baharu mungkin dibentuk
SPR dan RoS dilihat lebih sesuai untuk tugas tersebut: Wan Junaidi
BANGI, 18 Muharam 1444H, Selasa – Kerajaan tidak menolak kemungkinan mewujudkan sebuah badan baharu khusus untuk memantau sumbangan pihak luar kepada parti politik tempatan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, perkara itu antara cadangan penggubalan perundangan untuk dana politik.
“Ini antara opsyen Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selain Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) agak keberatan untuk tugas ini.
“Pihak SPR dan RoS dilihat lebih sesuai untuk tugas itu, namun ada kemungkinan tanggungjawab tersebut lebih sesuai dilakukan agensi bebas lain,” katanya seperti dipetik portal berita tempatan, hari ini.
Wan Junaidi pada masa sama turut mengarahkan Pusat Governan, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) memperhalusi pelbagai cadangan lain sebelum draf rang undang-undang (RUU) itu dikemukakan kepada Kabinet.
“Setakat ini, pihak GIACC sudah mengenal pasti model daripada sembilan negara yang berbeza untuk dipelajari dan dijadikan rujukan tetapi perlu disesuaikan dengan Malaysia.
“Amerika Syarikat (AS) sebelum ini pernah dijadikan model perbandingan dalam isu dana politik sedangkan pelaksanaan di negara itu sendiri agak teruk dan diragui banyak pihak,” jelasnya.
Sabtu lalu, Wan Junaidi mengumumkan RUU Sumbangan Politik bakal dibentangkan di Parlimen Oktober depan selepas beberapa aspek diteliti.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri juga telah melakukan mesyuarat berhubung perkara itu bersama beberapa agensi yang berkaitan, Jumaat lalu.