Berita Utama

Kredibiliti Nooh diyakini bantu hal ehwal fatwa negara

Ia berdasar pengalaman luas, kredibiliti sebagai bekas Mufti Johor

BANGI, 18 Muharram 1444H, Selasa – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yakin pelantikan Datuk Nooh Gadut sebagai Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dapat membantu mempertingkatkan lagi pengurusan dan penyelarasan hal ehwal kefatwaan di negara ini.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, ia berdasarkan pengalaman luas dan kredibiliti beliau sebagai Mufti Johor sebelum ini serta penglibatan secara langsung dalam institusi kefatwaan khususnya hal-hal berkaitan isu semasa di negara.

“Jakim amat berbesar hati dan mengalu-alukan pelantikan Datuk Nooh Gadot sebagai Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang baharu.

“Jakim juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan sekalung penghargaan dan ribuan terima kasih kepada Sahibus Samahah Datuk Wan Zahidi Wan Teh, Mufti Perak atas sumbang beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI sejak Oktober 2017,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Mesyuarat Majlis Raja-Raja Kali Ke-259 yang telah diadakan pada 30 Jun 2022 telah berkenan dengan pelantikan Nooh Gadot berkuat kuasa mulai 30 Jun sehingga 29 Jun 2024.

Watikah pelantikan beliau telah disempurnakan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Pengerusi MKI semalam.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button