Dunia

Mahkamah Israel tolak rayuan bebas Khalil Awawdeh

Keadaan makin merosot kerana mogok lapar selama 157 hari

RAMALLAH, 18 Muharam 1444H, Selasa – Mahkamah pendudukan Israel pada Isnin menolak rayuan bagi membebaskan tahanan Palestin, Khalil Awawdeh yang telah melakukan mogok lapar secara terbuka selama 157 hari berturut-turut.

Pengerusi Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan dan Bekas Tahanan, Qadri Abu Baker berkata, pendudukan Israel dan pentadbiran penjara memegang tanggungjawab sepenuhnya ke atas kehidupan Khalil, yang mengalami masalah kesihatan serius berikutan mogok lapar.

Jurucakap suruhanjaya itu, Hasan Abed Rabbo berkata, keadaan kesihatan Khalil semakin merosot kerana hilang separuh daripada berat badannya dan mengalami sakit sendi serta kabur penglihatan sehingga dia tidak lagi mengenali isterinya, Dalal ketika melawat di Hospital Assaf Harofeh.

Khalil juga kini memerlukan kerusi roda untuk membantunya bergerak.

Dia meneruskan mogok laparnya pada 2 Julai lalu, selepas menangguhkannya pada hari ke-111 ekoran janji pihak berkuasa Israel untuk membebaskannya pada akhir tempoh tahanan.

Namun, pihak berkuasa Israel mengingkari janji itu dan memperbaharui lagi tempoh penahanan pentadbiran Khalil kepada empat bulan lagi.

Khalil, 40, yang tinggal di bandar Idna selatan Tebing Barat telah ditahan pada 27 Disember tahun lalu, dan dikenakan hukuman penahanan pentadbiran selama enam bulan.

Dasar penahanan pentadbiran Israel dikutuk secara meluas kerana sewenang-wenang menahan rakyat Palestin tanpa sebarang pertuduhan atau perbicaraan untuk selang masa boleh diperbaharui antara tiga dan enam bulan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button