MN bakal ‘menjelma’ semula pasca PRU15: Pemerhati
BN kemungkinan dapat banyak kerusi namun tak cukup tubuh kerajaan

Oleh Zuhayati Yazid
BANGI, 18 Muharam 1444H, Selasa – Muafakat Nasional (MN) bakal ‘menjelma’ semula pada pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) walau kini ia kelihatan sudah terkubur meskipun tiada pengesahan rasmi.
Ramalan itu disuarakan pemerhati politik, Dr Azmi Hassan yang melihat terkuburkan MN hari ini disebabkan sikap ego pemimpin parti Melayu sendiri.
Katanya, mereka masing-masing berkeras dengan keputusan sendiri berikutan UMNO mahu bergerak solo manakala PAS pula terus kekal bersama Bersatu.
“Bagaimanapun pasca PRU15, apabila keputusan sudah keluar, tidak mustahil MN muncul semula kerana saya melihat Barisan Nasional (BN) besar kemungkinan akan mendapat kerusi yang banyak namun tidak cukup untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan secara bersendiri walaupun dicampur dengan kerusi-kerusi lain.
“Jadi dalam hal ini pilihan BN adalah bekerjasama dengan parti-parti lain dan calon paling terbaik untuk bekerjasama pasca PRU15 adalah PAS.
“Itu calon terbaik, sebab itu saya katakan sekarang MN sudah terkubur tapi besar kemungkinan MN menjelma kembali selepas keputusan PRU tersebut,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan BN mahu bergerak solo bagi menghadapi PRU15 sekali gus memberi gambaran gagasan tersebut akan terkubur dengan sendiri.
Mengulas lanjut, Azmi berpandangan, ketika itu setiap parti masing-masing akur dan terima kelemahan sendiri selain memerlukan antara satu sama lain.
Malah, bekas pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu menjelaskan, MN sebenarnya masih relevan dan wajar diperkukuhkan memandangkan jambatan perpaduan tersebut adalah harapan bagi pengundi Melayu.
MN terbentuk pada 14 Sepetember 2019 adalah piagam diperakukan UMNO dan PAS.
Gagasan berkenaan dibentuk berikutan UMNO hilang kuasa dalam kerajaan melalui Pilihan Raya Umum ke-14.