Berita Utama

Najib terkejut dan kecewa keputusan mahkamah

Permohonan masukkan bukti baharu ditolak panel lima hakim

BANGI, 18 Muharam 1444H, Selasa – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyuarakan rasa terkejut dan kecewa apabila Mahkamah Persekutuan membuat keputusan menolak permohonannya dalam tempoh empat jam.

Permohonan Najib memasukkan bukti baharu antaranya membabitkan hakim bicara, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali ditolak panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Mahkamah kemudian terus mendengar permohonan Najib untuk menangguhkan pendengaran rayuan akhirnya untuk tempoh antara tiga hingga empat bulan.

Kira-kira pukul 3.45 petang, panel tersebut sebulat suara menolak permohonan penangguhan itu atas alasan `keadilan tertangguh tertangguh adalah keadilan yang dinafikan’.

Najib berkata, permohonan memasukkan bukti baharu itu cukup kuat untuk diterima mahkamah namun ia tidak berlaku sedemikian.

“Saya terkejut. Saya kecewa dengan keputusan mahkamah yang tidak membenarkan saya memasukkan bukti baharu yang saya sesungguhnya percaya Hakim Mohd Nazlan mempunyai konflik kepentingan yang tinggi.

“Saya juga percaya siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) juga menunjukkan perkara yang sama,” katanya.

Sementara itu, peguam bela Najib iaitu Hisyam Teh Poh Teik turut melahirkan rasa sama dengan keputusan mahkamah.

“Selama dua hari, kami (pembelaan) telah mengemukakan hujah yang cukup kuat berdasarkan fakta dan undang-undang untuk meyakinkan mahkamah agar membenarkan permohonan kami supaya keadilan dilihat telah dilaksanakan. Malangnya, mahkamah tidak berpihak kepada kami,”katanya.

Hisham memaklumkan, pihaknya akan terus berusaha dan berbincang untuk tindakan selanjutnya dan akan memaklumkan pada pendengaran rayuan itu Khamis ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button