Berita Utama

PEMBELA yakin HPBM akan diiktiraf secara rasmi

Program tetap berjaya walau ada gangguan birokrasi, sekatan

BANGI, 18 Muharram 1444H, Selasa – Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya yakin kerajaan akan mengangkat Hari Peradaban Bangsa Melayu (HPBM) secara rasmi satu hari nanti, untuk disambut besar-besaran oleh rakyat Malaysia sebagai mana sambutan Hari Kebangsaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, perkara itu akan dapat dilaksana dengan syarat semua pihak yang terlibat dengan HPBM kekal istiqamah.

Katanya, penganjur HPBM telah membuktikan bahawa program itu tetap berjaya walaupun ada ramai pihak yang cuba menggagalkannya dengan pelbagai cara.

“Sama ada gangguan birokrasi, sekatan-sekatan dan segala jenis fitnah media yang bertali arus berjaya kita harungi.

“Sebenarnya ada pihak yang takut jika orang Melayu berbangga dengan sejarah dan tamadun silamnya, sekali gus mahu orang Melayu terus rasa kerdil,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Aminuddin berkata, penganjuran HPBM telah mendapat pujian daripada pelbagai pihak terutamanya polis dan media termasuk dari antarabangsa.

“Mereka yang enggan beri kerjasama dahulu, kini datang ingin menghulurkan tangan pula. Alhamdulillah.

“Lebih-lebih lagi apabila kita berjaya menyatukan NGO-NGO masyarakat sivil, pertubuhan-pertubuhan silat dan budaya serta pertubuhan-pertubuhan para asatizah dalam sebuah projek rakyat ini,” katanya.

Beliau pada masa sama turut terharu dengan keterujaan semua pihak terbabit untuk membuat persediaan bagi Hari Peradaban Bangsa Melayu kali ke-2 pada tahun 2023 nanti.

“Insya-Allah, kita akan memperbesarkan jawatankuasa penganjur ini nanti.

“Nantikan Hari Peradaban Bangsa Melayu 2023,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button