Berita Utama

Projek LCS: Bekas Pengarah Urusan BNS didakwa pecah amanah RM21 juta

Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor mengaku tidak bersalah

KUALA LUMPUR, 18 Muharam 1444H, Selasa – Bekas Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan pecah amanah dana syarikat itu berjumlah RM21.08 juta berhubung projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) bagi perolehan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Ahmad Ramli, 78, yang juga bekas Panglima Tentera Laut mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

“Saya faham, saya mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan,” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, Ahmad Ramli sebagai pengarah urusan BNS yang diamanahkan dengan penguasaan dana syarikat itu telah melakukan pecah amanah ke atas harta tersebut dengan meluluskan pembayaran berjumlah RM13,541,140 ke akaun Syarikat Setaria Holding Limited, Standard Chartered Bank, 6 Battery RD, Singapore 049909 tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah BNS.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di BNS, tingkat 17, Menara Boustead, Jalan Raja Chulan, antara 26 Julai 2010 dan 25 Mac 2011.

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad Ramli dituduh melakukan pecah amanah dengan meluluskan pembayaran berjumlah RM1,360,716 ke akaun Syarikat JSD Corporation, The Overseas-Chinese Banking Corporation Limited, Chulia Street, OCBC Centre, Singapura tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah BNS di lokasi sama antara 19 April 2011 dan 4 Mei 2011.

Tertuduh juga didakwa atas kesalahan serupa dengan meluluskan pembayaran berjumlah RM6,182,295 ke akaun Syarikat Sousmarin Armada Ltd, Standard Chartered Bank, 6 Battery Road, Singapura di tempat sama antara 28 Okt 2010 dan 22 Nov 2010.

Ketiga-tiga pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari dua tahun dan tidak lebih dari 20 tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Ahmad Ramli diikat jamin berjumlah RM500,000 dengan cagaran berbayar RM200,000 untuk semua pertuduhan dan menetapkan 24 Nov untuk sebutan kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Ahmad Akram Gharib manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden.

Terdahulu, Ahmad Akram mencadangkan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin serta cagaran berbayar sebanyak RM200,000 untuk kesemua pertuduhan.

“Jumlah jaminan tersebut telah dipersetujui oleh pihak pembelaan. Pihak pendakwaan juga memohon syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah untuk disimpan,” katanya.

Sementara itu, Wan Shaharuddin memaklumkan kepada mahkamah pihak pendakwaan dan pembelaan telah bersetuju dengan tarikh sebutan pada 24 Nov ini mengambil kira faktor jumlah dokumen yang banyak dan perlu diteliti oleh kedua-dua pihak.

“Saya juga dimaklumkan ada kemungkinan pihak pembelaan akan menghantar satu surat representasi berkenaan kes ini kepada Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Mohd Yusof mengesahkan pihaknya akan menghantar satu surat representasi bagi menyemak semula pertuduhan terhadap anak guamnya.

Pada 4 Ogos lepas, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara mendedahkan tiada satupun LCS telah disiapkan walaupun kontrak projek bernilai RM6.083 bilion itu memperuntuk lima daripada enam kapal tersebut seharusnya disiap dan diserahkan setakat Ogos 2022.

Pada 11 Ogos Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan telah melengkapkan kertas siasatan terhadap beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan dakwaan penyelewengan dalam pengendalian projek pembinaan LCS.

Menurut sumber, ada lagi individu akan dituduh di mahkamah berkaitan kes itu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button