Berita Utama

Zahid tukar reka bentuk LCS SIGMA kepada GOWIND pada 2011

Ubah keputusan kurang dua bulan selepas disyor BNS

BANGI, 19 Muharram 1444H, Rabu – Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) berhubung projek pembinaan enam kapal tempur pesisir (LCS) mendedahkan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menukar reka bentuk LCS daripada SIGMA kepada GOWIND pada 2011.

Menurut laporan yang dinyahklasifikasikan, bekas Menteri Pertahanan itu pada mulanya bersetuju dengan pendirian Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk memilih reka bentuk SIGMA dari Belanda, selepas mendapat taklimat daripada TLDM pada 26 Mei 2011.

Beliau bagaimanapun mengubah keputusan itu kurang dua bulan kemudian dan memilih reka bentuk GOWIND dari Perancis pada 11 Julai 2011, selepas disyorkan oleh syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).

Ahmad Zahid menukar pendirian itu hanya dua hari selepas mendapat surat daripada BNS pada 8 Julai 2011 yang mengesyorkan pemilihan reka bentuk GOWIND, sebelum BNS mengeluarkan surat niat kepada syarikat subkontraktor Perancis, DCNS pada 13 Julai 2011 untuk memulakan proses reka bentuk konsep dan penilaian reka bentuk.

“Panglima Tentera Laut ketika itu, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, mempertahankan pendirian dan konsisten memilih reka bentuk SIGMA dari Belanda dalam pembinaan LCS.

“Ini jelas diperlihatkan dalam surat Panglima Tentera Laut kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan pada 17 Ogos 2011 dan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 7 September 2011,” jelas laporan yang dipetik Berita Harian hari ini.

Berikutan itu, Kementerian Pertahanan (MINDEF) membuat permohonan kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk pengeluaran surat setuju terima (SST) yang menetapkan syarat reka bentuk GOWIND dan sistem pengurusan tempur (CMS) jenama SETIS serta 17 peralatan dan sub sistem.

MOF kemudian meluluskan pengeluaran SST kepada BNS pada 15 Disember 2011 dengan had bumbung kontrak RM9 bilion.

MINDEF memohon MOF membuat bayaran pendahuluan RM1.8 bilion atau 20 peratus daripada had bumbung kontrak, dengan RM500 juta didahulukan pada 2011 dan baki bayaran pendahuluan itu diselesaikan pada 2012.

Bagaimanapun, MOF pada 21 Disember 2011 hanya bersetuju meluluskan bayaran pendahuluan sebanyak RM500 juta kepada BNS.

Laporan JKSTUPKK mendedahkan nilai bayaran pendahuluan dalam SST dipinda dua kali, dengan bayaran pendahuluan kedua ditambah kepada RM700 juta pada 2013, dan bayaran pendahuluan ketiga berjumlah RM170 juta pada 2014 (hanya RM164.9 juta dibayar pada Januari 2014).

“Jumlah keseluruhan bayaran pendahuluan di peringkat SST berjumlah RM1,364,997,803 atau 14.95 peratus daripada nilai kontrak,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button