Berita Utama

Anggota JPJ didakwa terima rasuah berjumlah RM27,600

Terima habuan supaya tak ambil tindakan kepada lori syarikat

JOHOR BHARU, 19 Muharam 1444H, Rabu – Seorang pembantu penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) didakwa menerima rasuah berjumlah RM27,600 daripada sebuah syarikat logistik dalam tempoh empat tahun.

Ahmad Jamil Md Saru, 40, mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail di sini, hari ini.

Ahmad Jamil, yang masih bekerja dengan cawangan JPJ Muar, pertama kali didakwa menerima RM6,000 daripada seorang pengurus besar Syarikat Sivan Sakhti Maju Enterprise, melalui pindahan wang melalui bank dalam talian sebagai habuan untuk tidak mengambil tindakan terhadap lori syarikat itu di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dia dikatakan melakukan kesalahan itu dari 26 Januari 2016 hingga 25 Disember tahun sama.

Tertuduh juga didakwa menerima suapan RM7,600 dari 30 Januari 2017 hingga 23 Disember 2017 diikuti RM11,000 dari 27 Januari 2018 hingga 26 Disember 2018 dan RM3,000 dari 27 Januari 2019 hingga 24 Mac 2019 daripada syarikat yang sama atas sebab yang sama.

Ahmad Jamil didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mengikut mana-mana jumlahnya lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwan Shah Abdul Samat memohon ikat jamin RM6,000 bagi keempat-empat pertuduhan dengan seorang penjamin, yang dibenarkan mahkamah.

Hakim Ahmad Kamal Arifin turut memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport dan melaporkan diri di pejabat SPRM Melaka sebulan sekali sepanjang kes.

Beliau kemudian menetapkan 20 September ini untuk sebutan dan penyerahan dokumen seterusnya dan menasihatkan tertuduh untuk mendapatkan representasi undang-undang dalam pada itu.

Dilaporkan pada 5 Julai lalu, tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Melaka, di mana dia didakwa menerima bayaran rasuah bulanan RM500 daripada syarikat yang sama sebagai habuan untuk tidak mengambil tindakan terhadap lorinya.

Ahmad Jamil turut mengaku tidak bersalah terhadap kesemua 12 pertuduhan membabitkan sejumlah RM8,500.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button