Dunia

Kes pertama cacar monyet dari manusia ke anjing

Gesa siasat penularan sekunder melalui haiwan peliharaan

WASHINGTON, 19 Muharram 1444H, Rabu – Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) mengemaskini garis panduan cacar monyet terhadap haiwan peliharan yang boleh dijangkiti virus itu termasuk anjing.

Kemaskini membabitkan haiwan berkenaan dibuat selepas jurnal perubatan The Lancet melaporkan kes pertama yang disyaki penularan cacar monyet dari manusia ke anjing di Perancis.

Menurut artikel yang diterbitkan pada 10 Ogos itu, dua lelaki yang didakwa tinggal serumah disahkan dijangkiti cacar monyet pada awal Jun.

12 hari selepas timbulnya gejala, anjing peliharaan mereka jenis ‘greyhound Itali’ berusia 4 tahun mula menunjukkan simptom seperti lesi.

Anjing itu tidak mempunyai gangguan perubatan sebelum ini dan keputusan ujian menunjukkan bahawa kedua-dua anjing serta salah seorang pemliknya telah dijangkiti cacar monyet jenis yang sama.

Lelaki dan anjing itu dijangkiti virus cacar monyet yang menular di negara negara bukan endemik sejak April tahun ini, dan juga telah menjangkiti lebih 1,700 orang di Perancis.

Di negara yang endemik cacar monyet, hanya haiwan liar seperti tikus dan primat didapati membawa jangkitan virus itu.

“Jangkitan di kalangan haiwan peliharaan dan kucing tidak pernah dilaporkan,” kata artikel.

Justeru, artikel itu berpandangan akan keperluan untuk mengasingkan haiwan peliharaan daripada individu yang didapati positif cacar monyet, termasuk menggesa siasatan lanjut mengenai penularan sekunder melalui haiwan peliharaan.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button