Berita Utama

Meski dalam GTA, BERJASA konsisten tolak budaya politik kotor

Tak mustahil GTA kerjasama PN tumbangkan UMNO, PH

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 19 Muharram 1444H, Rabu – Parti BERJASA yakin matlamat penubuhan Gerakan Tanah Air (GTA) berada di landasan betul, iaitu menolak segala bentuk salah laku dan budaya rasuah, selain menjadi wadah persepakatan orang Melayu.

Perjuangan itu juga selaras dengan agenda BERJASA yang memperjuangkan integriti, membanteras amalan rasuah, salah guna kuasa serta budaya politik kotor.

Namun, BERJASA sedia menarik diri secara kehormat daripada gabungan itu sekiranya terdapat pimpinan komponen termasuk Pengerusi GTA sendiri didapati bersalah oleh sistem kehakiman Malaysia dan dijatuhkan hukuman, kata Setiausaha Agungnya, Ir Ts Lukman Al Hakim Mohamad.

“BERJASA amat yakin dengan agenda serta pelan pelaksanaan parti ini bagi membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara yang unggul dan bermaruah. Kekuatan agenda ini sahaja sudah cukup kuat suaranya.

“Ditambah pula dengan persepakatan agenda di antara parti komponen dalam GTA, BERJASA amat yakin gabungan ini mampu menjadi tonggak parti orang Melayu Islam demi masa depan Malaysia yang lebih baik,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau yang ditanya apakah GTA akan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) untuk menumbangkan UMNO dan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berkata, setakat ini perkara itu masih belum dibincangkan.

Namun katanya, PN buat masa ini mengambil pendirian untuk tidak bekerjasama dengan parti-parti kecil.

“Tetapi di dalam politik tiada yang mustahil, segalanya mungkin.

“Ketika gabungan utama BN dan PN memandang sepi BERJASA, kami secara proaktif cuba membentuk pakatan bersama parti-parti kecil, NGO dan tokoh nasional yang lain bagi menyediakan alternatif terbaik buat rakyat Malaysia.

“Ia secara dasar memenuhi keperluan permuafakatan politik dan selari dengan identiti teras serta agenda perjuangan asas BERJASA,” katanya.

BERJASA konsisten melahirkan pemimpin bermaruah dan berprinsip, setia pada agama, bangsa dan negara, yang dipilih berasaskan kualiti dan kewibawaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button