Berita Utama

PAS-UMNO setuju tak bertembung di 3 kerusi Parlimen

Fokus 24 lagi kawasan lain supaya kerusi berisiko tak jatuh ke PH

BANGI, 19 Muharam 1444H, Rabu – Dua parti terbesar, PAS dan UMNO bersepakat tidak akan bertembung tiga kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki mendedahkan perundingan kedua-dua parti masih melibatkan pimpinan akar umbi, sebelum dibawa ke peringkat tertinggi untuk diputuskan.

“Usaha ini akan diteruskan ke 24 kawasan lain supaya kerusi yang berisiko itu tidak jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH).

“Realiti yang berlaku di ba­wah sana, ahli-ahli akar umbi PAS dan UMNO terutama di ka­wasan-kawasan yang berisi­ko untuk PH menang, sangat mengharapkan kerjasama ini boleh berlaku.

“Apabila saya lontarkan pandangan pada minggu lepas mengenai 27 kerusi terlibat, mereka menyambut baik,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menaruh harapan supaya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerima dan tidak ‘mengganggu’ perancangan yang dibuat pada masa ini.

Mengakui belum dibincang bersama dengan Bersatu, beliau berharap dapat bekerjasama bagi mengelakkan kerusi-kerusi berisiko jatuh ke tangan PH.

“Sehingga hari ini, saya masih berada dalam Jawatankuasa Khas Perundingan Kerusi Muafakat Nasional, hanya dengan UMNO yang dapat saya usahakan ,” katanya.

Ahad lalu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan menyambut baik syor supaya tidak berlaku pertembungan calon PAS dan UMNO di 27 kerusi.

Katanya, perkara itu akan dibincangkan di peringkat dalaman parti mengenai baik buruk pandangan tersebut.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button