Berita Utama

Pemilik disenarai hitam, Crackhouse ditutup selamanya

Tak boleh lagi daftar lesen perniagaan di Kuala Lumpur

BANGI, 19 Muharam 1444H, Rabu – Operasi perniagaan Crackhouse Comedy Club ditamatkan sepenuhnya apabila pemiliknya disenarai hitam seumur hidup daripada mendaftar lesen perniagaan di mana-mana premis sekitar ibu negara.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, Jawatankuasa Pelesenan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersetuju membatalkan lesen perniagaan kelab komedi berkenaan, berkuat kuasa 30 Julai lalu selepas mengadakan mesyuarat .

“DBKL juga mengambil keputusan untuk menyenarai hitam pemilik kelab ini untuk mendaftarkan lesen perniagaan di Kuala Lumpur buat selama-lamanya.

“Ini bermakna pemilik kelab itu tidak boleh mendaftarkan sebarang aktiviti perniagaan di Kuala Lumpur walaupun menggunakan nama dan syarikat berlainan,” katanya.

DBKL pada masa sama, sedang memantau beberapa kelab yang disyaki terbabit dengan aktiviti seumpama itu di sekitar ibu negara.

“Sebarang lesen hiburan yang kita kemuka dan keluarkan kepada setiap premis mesti mengikut peraturan ditetapkan.

“Bagi pihak yang melanggar syarat pelesenan, maka mereka tidak akan terlepas daripada tindakan tegas,” katanya.

Pada 13 Julai lalu, Crackhouse Comedy Club di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), yang digantung sementara operasi oleh DBKL pada 10 Julai lalu didapati tidak mempunyai lesen hiburan sejak 2014 hingga 2017.

Malah, pengasas dan pemilik bersama Crackhouse Comedy Club, Rizal Van Geyzel didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan memuat naik video di tiga platform media sosialnya yang menyentuh isu sensitiviti perkauman pada 22 Julai lalu.

Kes bermula selepas provokasi seorang pelawak wanita, Siti Amirah atau Amy yang menanggalkan baju dan hijab ketika membuat stand up comedy di kelab berkenaan.

Wanita itu mendakwa dirinya beragama Islam serta sudah menghafal 15 juzuk al-Quran sebelum secara tiba-tiba menanggalkan baju kurung serta tudungnya di premis berkenaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button