‘Pengkid’ berihram di Makkah sengaja cabar kesucian Islam
Wanita ISMA sokong tindakan tegas menteri agama

Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 19 Muharram 1444H, Rabu – Tindakan seorang wanita berperwatakan lelaki memakai ihram ketika mengerjakan umrah di Tanah Suci seolah sengaja mencabar kesucian agama Islam.
Bukan hanya mempermainkan agama, bahkan tindakan merakam dan memuat naik video ‘aib’ itu di media sosial juga dilihat sangat melampau.
Atas sebab itu, Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Dr Suriani Sudi percaya bahawa tindakan wanita terbabit sememangnya bertujuan untuk memperlekehkan agama Islam.
“Tindakan seorang wanita yang menaikkan videonya memakai ihram di hadapan Kaabah adalah satu tindakan yang sangat tidak beretika.
“Sangat berani dia melakukan demikian di Tanah Suci. Ia memang bertujuan untuk memperlekehkan agama,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.
Tindakan wanita berkenaan mengejutkan negara apabila beberapa hantaran mengenai wanita dipercayai dari Perak itu tular di Twitter susulan videonya berada di Makkah dengan lengkap berpakaian ihram seperti jemaah umrah lelaki.
Difahamkan, wanita berperwatakan lelaki itu ke Tanah Suci dengan menggunakan visa pelancong secara ‘DIY’ yang diurus sendiri bersama rakannya, bukan menerusi khidmat agensi umrah.
Perkara itu sekali gus mendapat perhatian dalam kalangan mufti dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.
Idris dilaporkan berkata, tindakan tegas menanti kepulangan wanita berkenaan kerana membabitkan hukum agama.
Menyokong langkah Idris itu, Dr Suriani berkata, kerajaan dan pihak berkuasa perlu bersikap tegas dengan segelintir individu biadab berkenaan supaya perkara sama tidak berulang.
“Ini kes kedua selepas kes Mohamad Sajat ke Makkah dengan berpakaian telekung seperti jemaah wanita.
“Jika tidak tegas mungkin akan ada yang berani bertindak sedemikian pada masa hadapan,” katanya.