Berita UtamaDunia

Putin dakwa AS cuba lanjutkan perang Ukraine, gugat kestabilan wilayah

China tuduh Washington perosak keamanan di Selat Taiwan

MOSCOW, 19 Muharam 1444H, Rabu – Presiden Russia, Vladimir Putin mendakwa Amerika Syarikat (AS) cuba melanjutkan konflik di Ukraine dan berusaha untuk menggugat kestabilan rantau Asia-Pasifik, merujuk kepada campur tangan Washington di Taiwan.

“Situasi di Ukraine menunjukkan bahawa AS cuba memanjangkan konflik. Mereka bertindak dengan cara yang sama, memacu potensi konflik di Asia, Afrika, dan Amerika Latin,” kata Putin hari Selasa.

Russia melancarkan operasi ketenteraan di Ukraine pada akhir Februari, berikutan kegagalan Kiev melaksanakan syarat perjanjian Minsk dan pengiktirafan Moscow terhadap wilayah pemisahan Donetsk dan Luhansk di timur Ukraine.

Pada masa itu, Putin berkata, salah satu matlamat operasi ketenteraan khas adalah untuk menghapuskan unsur neo-Nazi di Ukraine.

Russia telah berulang kali memberi amaran bahawa bekalan senjata Barat ke Ukraine disertai dengan sekatan yang melumpuhkan Moscow.

Ia sekali gus memanjangkan perang yang sedang berlangsung, yang sudah pun memasuki bulan keenam.

Putin mengecam lawatan kontroversi Speaker Dewan Rakyat AS, Nancy Pelosi baru-baru ini ke Taiwan, menyebutnya sebagai provokasi yang dirancang dengan teliti.

“Perjalanan Amerika ke Taiwan bukan sekadar perjalanan seorang ahli politik yang tidak bertanggungjawab, tetapi sebahagian daripada strategi AS. 

“Ia bertujuan untuk menggugat kestabilan dan menjadikan keadaan huru-hara di rantau ini dan dunia,” katanya.

China berkata, lawatan penggubal undang-undang AS ke Taiwan telah mendedahkan sepenuhnya wajah sebenar Washington sebagai perosak keamanan di Selat Taiwan.

China telah lama menentang campur tangan AS di pulau yang diperintah sendiri – walaupun Washington mengiktiraf secara rasmi dasar ‘satu China’ di mana hampir semua negara mengiktiraf kedaulatan Beijing ke atas Taiwan. 

Sebagai tindak balas kepada lawatan Pelosi, China mengadakan latihan ketenteraan yang tidak pernah berlaku sebelum ini di sekitar pulau itu dan menggantung beberapa dialog dengan Washington.

Pelosi menjadi ahli politik Amerika paling kanan untuk melawat pulau itu dalam tempoh 25 tahun. Lawatan itu dilabelkan oleh Menteri Luar China sebagai kerja gila, tidak bertanggungjawab dan tidak rasional.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button