Berita Utama

Skandal LCS londehkan kualiti kepimpinan bekas Menteri Pertahanan

‘Jika benar Zahid tak bersalah, bersihkan nama, tapi siapa nak percaya?‘

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 19 Muharam 1444H, Rabu – Skandal projek kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kini melondehkan kualiti kepimpinan dan integriti ramai bekas Menteri Pertahanan yang pernah memegang jawatan tersebut.

Apatah lagi menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), ramai nama-nama pemimpin tertinggi UMNO telah dipetik terbabit dengan masalah kelewatan pembinaan kapal itu. 

Sama ada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, Mohamad Sabu (Amanah) dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di kalangan mereka didakwa memiliki ‘saham’ dalam salah laku dan bencana yang menimpa negara ini. 

Namun, sudah tentu mata akan tertumpu kepada Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, kerana beliau merupakan Menteri Pertahanan pada 2011.

Pemerhati politik, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim Mohamad berkata, ketika Zahid Menteri Pertahananlah, Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) mengubah bentuk kapal tempur jenis SIGMA kepada GOWIND dengan persetujuan beliau tanpa mengambil kira pendapat pimpinan tertinggi TLDM. 

“Dengan kelulusan Kementerian Pertahanan, kapal model SIGMA ditukar kepada model GOWIND pada 11 Julai 2011 atas cadangan BNS pada 8 Julai 2011.

“Jika benar Ahmad Zahid tidak bersalah, maka beliau perlu membersihkan namanya. Namun, kini siapa yang mahu percaya?,” soalnya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Tambahan lagi, katanya, dengan pelbagai kes salah laku dan rasuah yang sedang dihadapi Ahmad Zahid di mahkamah kini, serta kemewahan hidupnya serta keluarganya yang digambarkan melalui isi perbicaraan kes telah membuatkan seluruh rakyat hilang kepercayaan kepada beliau.

“Begitu juga dengan pemimpin-pemimpin UMNO yang lain, termasuk Perdana Menteri Ismail Sabri yang terpaksa membuktikan diri masing-masing tidak bersalah dalam hal ini. 

“Ismail Sabri pernah menjadi Menteri Pertahanan dari Mac 2020-Ogos 2021. Jadi isu LCS ini hanyalah ‘the tips of the iceberg,” katanya lagi.

Justeru, Lukman yang juga Setiausaha Agung BERJASA menggesa keseluruhan dapatan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dikaji dan digali sehingga ke akar umbi supaya seluruh rakyat akan tahu siapakah pengkhianat sebenar negara.

Mengulas natijah isu ini kepada populariti UMNO, beliau berkata, ia semestinya memberi impak terutama sekali dalam berdepan PRU15 yang sebelum ini amat digesa oleh mereka.

“Kepercayaan kepada UMNO dan pemimpinnya telah lama hilang, kini masa untuk negara memilih kepimpinan baharu yang lebih segar, berkemampuan dan berintegriti tinggi dalam pilihanraya akan datang,” katanya.

Projek pembinaan LCS adalah perolehan terbesar dalam sejarah Kementerian Pertahanan dengan kos keseluruhan RM9 bilion dan kontrak bagi projek itu bermula 2013 serta dijangka siap dalam masa 10 tahun.

Sebelum ini, PAC dalam laporannya menyatakan, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada BNS, yang dilaksanakan secara runding terus, namun tiada kapal yang diterima setakat ini.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, mendedahkan lebihan kos projek LCS berjumlah RM1.4 bilion, dengan RM400 juta digunakan untuk membayar hutang lama daripada projek kapal peronda lama.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button