Berita Utama

Tawaran diskaun saman trafik di media sosial palsu

Konon ada kenalan boleh beri diskaun dengan harga tertentu

BANGI, 19 Muharram 1444H, Rabu – Polis menafikan sekeras-kerasnya pembabitan agensi penguat kuasa itu dengan mana-mana individu yang dikesan memberi tawaran diskaun saman trafik di media sosial secara tidak sah.

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) berkata, pihaknya sering kali menerima laporan awam berkaitan adanya individu yang tidak bertanggungjawab membuat iklan tawaran palsu berkaitan diskaun saman trafik secara terbuka di platform media sosial.

“Modus operandi mereka ini akan mengiklankan grafik anggota polis beserta tajuk tawaran diskaun saman dan akan berurusan secara private message (PM) atau direct message (DM) apabila mangsa ingin memerlukan khidmat mereka.

“Mereka akan mendakwa bahawa mempunyai kenalan yang boleh memberikan diskaun saman seperti yang diminta dengan harga yang tertentu,” katanya dalam satu kenyataan.

JSPT berkata, tindakan sebegini boleh mencemarkan imej JSPT dan PDRM amnya.

“JSPT menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan iklan tawaran saman trafik yang bukan dikeluarkan daripada laman rasmi JSPT dan PDRM. Sentiasa semak sumber maklumat yang boleh dipercayai dan disahkan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button