Trend kerjasama politik berubah punca BN berani gerak solo
BN nak buktikan jadi parti kuat dan kembali terima sokongan rakyat

Oleh Zuhayati Yazid
BANGI, 19 Muharam 1444H, Rabu – Perubahan trend kerjasama politik yang berlaku selepas pasca Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) mendorong Barisan Nasional (BN) tampil bergerak solo.
Selain itu, gabungan terbesar itu dipercayai mahu membuktikan mereka kembali kukuh dan diterima semula rakyat, kata penganalisis politik Fakulti Ekologi Manusia, UPM, Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain.
“Semua disebabkan trend kerjasama politik kini sudah berubah, bukan seperti dahulu lagi.
“Pemimpin BN kini yakin kerjasama politik bersama parti-parti lain boleh dijayakan pasca PRU15 nanti.
“Sekiranya BN menang, namun tak mampu bentuk kerajaan sendiri mereka akan membuka peluang untuk bekerjasama dengan parti-parti lain bagi membentuk kerajaan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Izani berkata, peluang bergerak solo ini sebenarnya sebagai tanda ‘membalas dendam’ kepada parti-parti lain.
Ini selepas tiada ruang dan peluang untuk bersama selain menunjukkan bukti parti tersebut diterima semula rakyat selepas kalah teruk dalam Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14) sebelum ini.
“Disebabkan tiada ruang untuk bekerjasama dengan parti-parti lain, inilah masanya BN tonjolkan kehebatan diri mereka.
“Malah, kemenangan di beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka, Johor dan Sabah jelas membuktikan parti itu diterima rakyat selepas kecewa dengan pemerintahan sebelum ini,” katanya.
Justeru Mohd Izani berkata, kekuatan yang dikumpulkan termasuk semangat jentera mendorong BN untuk gah di pentas pertandingan biarpun bersendiri.
“Soal kes semasa melibatkan kes mahkamah, salah guna kuasa melibatkan pemimpin dilihat tidak mampu mengatasi sokongan.
“…memandangkan yang terpalit itu hanya peratusan kecil namun semangat dan sokongan masyarakat terhadap parti tersebut masih kukuh,” katanya.