Berita UtamaDunia

Taliban tembak komander pemberontak di sempadan Iran

Mawlawi Mehdi, komuniti etnik Hazara pernah sertai Taliban sebelum ini

ISLAMABAD, 20 Muharam 1444H, Khamis – Seorang komander pemberontak Afghanistan dilaporkan terbunuh ditembak pasukan tentera Taliban berhampiran sempadan Iran, semalam.

Menteri Pertahanan Taliban mengenal pasti individu yang terkorban sebagai Mawlawi Mehdi, komuniti minoriti Hazara yang pernah menyertai Taliban sebelum ini.

Mawlawi dirujuk sebagai ketua pemberontak di Balkhab, di daerah yang kaya dengan lombong, di Sar-e Pol – dia sebelum ini melarikan diri berhampiran pergunungan bersama beberapa pengikutnya selepas memberontak dengan Taliban.

Bagaimanapun ketua pemberontak itu berjaya ditembak mati di barat Afghanistan sempadan wilayah Herat.

Mawlawi juga sebelum ini dalam cubaan melarikan diri ke Iran apabila pasukan perisikan dan pasukan keselamatan menyasarkan dia di sempadan antara Herat Iran.

Bagaimanapun pengikut Mawlawi sehingga kini tidak mengulas lanjut mengenai pembunuhan ketua komander mereka.

Sebelum ini, ketua etnik Hazara itu dilantik sebagai ketua perisikan bagi wilayah Bamiyan selepas Taliban berjaya merampas pentadbiran negara Ogos 2021.

Namun, April lalu, Mawlawi dipecat oleh Taliban dengan alasan tidak didedahkan umum, dia kemudian kembali ke Balkhab dan menguruskan pemberontakan bersenjata.

Taliban kemudian menghantar beberapa pihak untuk mengadakan rundingan penyelesaian namun ditolak oleh Mawlawi menyebabkan kumpulan berkenaan melancarkan operasi pembersihan di wilayah berkenaan, bulan lepas.

Tindakan tentera memaksa pasukan berkenaan melarikan diri ke kawasan pergunungan yang berhampiran. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button