Tentera rejim Zionis serbu pejabat kumpulan masyarakat sivil Palestin
Pecah pintu masuk, rampas peralatan kumpulan yang pernah disasarkan

BAITULMAQDIS, 20 Muharam 1444H, Khamis – Tentera negara pengganas Israel menyerbu beberapa pejabat kumpulan hak masyarakat sivil Palestin di Tebing Barat yang diduduki pada Khamis.
Al-Haq berkata, tentera Israel menyerbu pejabatnya di Ramallah, merampas barang-barang, menutup pintu masuk utama dan meninggalkan perintah tentera yang mengisytiharkan pertubuhan itu menyalahi undang-undang.
Kumpulan lain yang diserbu termasuk Addameer, Pusat Kajian dan Pembangunan Bisan serta Kesatuan Jawatankuasa Palestin.
Addameer berkata, askar juga memecahkan pintu pejabatnya dan merampas peralatan.
Pada Oktober 2021, Israel mengisytiharkan Addameer, Al-Haq dan Bisan, bersama-sama dengan Pertahanan untuk Kanak-kanak Antarabangsa-Palestin, Kesatuan Jawatankuasa Wanita Palestin dan Kesatuan Jawatankuasa Kerja Pertanian sebagai pertubuhan pengganas.
Pengisytiharan itu mendapat kritikan dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pertubuhan hak asasi manusia.
Al-Haq – yang ditubuhkan pada 1979 – memberi tumpuan kepada mendokumentasikan pencabulan hak asasi manusia oleh Israel dan Pihak Berkuasa Palestin.
Pengarah program di Al-Haq, Tahkeem Alyan berkata, serbuan tentera dan rampasan bahan penting telah dijangka memandangkan hasutan Israel yang berterusan terhadap institusi Palestin, bertujuan untuk memburukkan mereka dan memutuskan komunikasi dengan dunia.
Katanya, Al-Haq sudah lama menjadi sasaran pihak berkuasa Israel bahkan serangan terhadapnya telah meningkat selepas pertubuhan itu mula menghantar laporan tindakan Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
“Israel tidak mahu sesiapa pun mempertanggungjawabkan atas jenayah dilakukan dan dibawa ke perbicaraan, inilah yang mengganggu dan mendorongnya untuk mengambil tindakan ini terhadap institusi itu,” katanya.
Katanya lagi, penjenamaan Al-Haq sebagai pertubuhan pengganas adalah langkah paling mudah yang boleh diambil oleh tentera terhadap kumpulan itu, kerana ia tidak mempunyai sebarang bukti bagi membuktikan pertubuhan itu telah melakukan sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang.
“Al-Haq telah membuka semula pintunya dan kami akan terus berusaha dan tidak akan tunduk kepada keputusan ini,” kata Alyan. – Agensi