Berita Utama

BERJASA gesa segera gubal akta dana politik

Politik wang jadi norma golongan dua darjat dapatkan jawatan

BANGI, 20 Muharram 1444H, Khamis – Parti BERJASA menggesa kerajaan menggubal segera akta pendanaan politik bagi mengelakkan salah guna kuasa untuk mendapatkan sumber kewangan.

Ketua Pemudi BERJASA, Azliza Rajain berkata, budaya politik wang terus menjadi norma golongan dua darjat untuk mendapatkan jawatan sejak sekian lama.

Justeru, katanya, akta pendanaan politik ini sangat penting supaya tiada salah guna kuasa bagi mendapatkan sumber kewangan untuk membantu parti tertentu di dalam pilihan raya.

“Saya kasihan dengan pakcik makcik yang menerima ‘wang saguhati’ setiap kali gelombang pilihan raya.

“Waktu itulah rakyat dijaga bagai menatang minyak yang penuh. Selepas PRU, batang hidung pun tidak pernah nampak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes rasuah membabitkan ahli politik semakin membarah kebelakangan ini, justeru rakyat perlu menolak mereka yang telah terbukti disabitkan kesalahan itu.

“Ironinya kita masih harapkan rasuah untuk ubah negara. Seperti negara kita ini sudah ketandusan ahli politik yang berwibawa untuk mengurus tadbir negara ini.

“Apabila akta itu dibentang dan diluluskan di Parlimen kelak, mana-mana parti bebas mencari dana untuk membiayai operasi parti termasuk pilihan raya,” katanya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan, Akta Pembiayaan Dana Politik berkemungkinan tidak dapat dibentangkan pada sesi Parlimen kali ini atau sesi Disember akan datang kerana ia masih di peringkat kajian.

Beliau berkata, satu sesi libat urus perlu diadakan dengan pelbagai pihak sebelum undang-undang baharu itu dapat diperkenalkan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button