Dunia

Dipenjara tanpa bicara, 4 tahanan Palestin terus mogok lapar

Ini termasuk 2 beradik, seorang imam masjid berusia 64 tahun

RAMALLAH, 20 Muharram 1444H, Khamis – Empat tahanan Palestin di penjara Israel sedang bermogok lapar sebagai protes terhadap tindakan kejam dan tidak adil rejim haram menahan mereka tanpa tuduhan atau perbicaraan.

Antara empat tahanan itu termasuklah Khalil Awawdeh yang telah bermogok selama 158 hari dan dua beradik serta seorang lelaki berusia 64 tahun, menurut Persatuan Tahanan Palestin (PPS).

Khalil, 40, telah bermogok lapar untuk hari ke-158 setakat semalam, dengan keadaan kesihatannya semakin kritikal dan kini ditempatkan di hospital Israel.

Dia sudah membuat permohonan rayuan pembebasan ke mahkamah Israel, namun ditolak pada Isnin lalu.

Khalil pernah menghentikan mogoknya pada hari ke-111 apabila dijanjikan untuk bebas daripada tahanan.

Bagaimanapun, pihak berkuasa pendudukan Israel mengingkari janji itu dan memperbaharui lagi tempoh penahanan pentadbiran selama empat bulan sehingga menyebabkan dia meneruskan semula protesnya.

Sementara itu, dua beradik Ahmad Mousa, 44, dan Odal, 34, juga melancarkan mogok sama untuk hari ke-11 sebagai protes terhadap penahanan pentadbiran mereka.

Selain tiga mereka, turut bertindak mogok sama adalah seorang imam masjid dari bandar Lydda yang juga warganegara Israel iaitu Yousef el-Baz, 64.

Yousef telah melakukan mogok lapar selama tujuh hari berturut-turut sebagai membantah penahanan sewenang-wenangnya ke atas dia yang ditangkap pada 30 April lalu.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button