Berita Utama

Dua beradik maut dalam pergaduhan di Ipoh

Kerap dengar kejadian pergaduhan di rumah: Saksi

IPOH, 20 Muharam 1444H, Khamis – Dua beradik ditemukan maut selepas dipercayai bertengkar dalam satu kejadian di Jalan Mohamed Naseh, di sini pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira 10 pagi berhubung kejadian tersebut dan bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya di sebuah rumah, didapati seorang lelaki terbaring berlumuran darah di dapur dengan kesan tikaman manakala seorang lagi lelaki berada di luar rumah (dalam keadaan tergantung). Siasatan awal mendapati, kedua-duanya merupakan adik-beradik yang telah bertengkar di rumah itu.

“Isteri kepada lelaki pertama (adik) dipercayai cuba menenteramkan keadaan sehingga luka pada ibu jari tangan kanannya. Kami masih melakukan siasatan untuk mengetahui punca insiden pergaduhan. Menurut saksi, mereka kerap dengar kejadian pergaduhan di rumah ini,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati suspek, 70, yang bekerja sebagai pemandu teksi dipercayai bertengkar dan kemudian menikam adiknya, 67, seorang pesara, sebelum menggantung diri di luar rumah dan pihaknya turut menjumpai pisau kecil yang berada berdekatannya.

“Sewaktu kejadian, ada beberapa ahli keluarga. Keterangan akan direkodkan untuk tujuan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dan menambah mayat dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button