Berita Utama

Hapuskan rasa sangsi, syak wasangka dengan jaga sensitiviti

Kepentingan negara keutamaan masa ini langkaui kepentingan diri

BANGI, 20 Muharam 1444H, Khamis – Belenggu syak wasangka dalam masyarakat boleh dibebaskan dengan pengetahuan sejarah dan identiti Malaysia sebagai negara bangsa.

Ia juga perlu disandarkan kepada penghayatan terhadap Rukun Negara sebagai falsafah negara, selain memahami apa itu Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang menjadi asas budaya negara.

Pensyarah Universiti Teknologi MARA, Ahmad Farami Abdul Karim berkata, penghayatan ini melahirkan jati diri dan semangat sayangkan negara.

Turut terlahir ialah semangat muhibah kerana rakyat berkongsi identiti nasional.

“Justeru dalam usaha itu kita perlu berhati-hati dengan sentimen perkauman di media sosial. Tanpa kawalan ia mampu memecahbelahkan rakyat. Apatah lagi pada zaman ini media sosial sudah menjadi sebahagian kehidupan sebagai saluran maklumat.

“Namun ia juga mampu menjadi medan untuk menghasut, melepaskan kemarahan dan memecahbelahkan perpaduan,” katanya dalam artikel disiarkan Berita Harian hari ini.

Bagi menghapuskan rasa sangsi dan syak wasangka itu, Ahmad Farami berkata, ia harus dimulakan dengan belajar menerima perbezaan, menjaga sensitiviti kaum dan agama selain sentiasa mencari titik temu dalam kepelbagaian asal usul.

Hal ini bukan hanya memerlukan tekad tetapi pentingnya celik etika dan budaya, katanya.

Bahkan pengetahuan kenegaraan juga amat penting, selain tentunya kesedaran mengenai kedudukan Perlembagaan Persekutuan.

“Untuk melangkah menjadi negara maju kita tiada pilihan selain menghapuskan curiga dan prasangka dalam kalangan masyarakat. Ia boleh dibuat dengan kita mengambil inisiatif untuk memahami dan mempelajari perbezaan budaya dan agama di negara ini. Usaha itu juga perlu bersandarkan kepada toleransi dan saling menghormati.

“Hal inilah yang akan menjadi pemangkin perpaduan dan kesepaduan sosial. Itulah sebenarnya keutamaan kita pada waktu ini. Kepentingan negara adalah keutamaan yang melangkaui kepentingan diri dan kelompok sendiri,” katanya.

Pautan artikel;
https://www.bharian.com.my/rencana/minda-pembaca/2022/08/989837/hayati-hari-kemerdekaan-hapus-curiga-dan-prasangka

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button