Kerajaan digesa percepat pembinaan LPT3
Beri perhatian projek di Pantai Timur, ramai rakyat menantikannya

BANGI, 20 Muharam 1444H, Khamis – Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Husain Awang menggesa kerajaan mempercepat pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) yang telah diluluskan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.
Ini kerana, katanya, faktor mobilisasi rakyat di negeri Terengganu dan Kelantan perlu diambil kira supaya dapat memudahkan mereka dalam urusan harian.
Husain berkata, pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (Pindaan) 2022 minggu lepas, beliau telah menekankan peri pentingnya projek East Coast Economic Region (ECER) kepada negeri-negeri Pantai Timur.
“Seperti yang sedia maklum, projek pembinaan (LPT3) ini telah diluluskan pada tahun 2019 dan merangkumi jarak 150 km bermula dari Gemuroh, Terengganu ke Tumpat, Kelantan.
“Projek ini merupakan salah satu inisiatif kerajaan dalam membangunkan negeri Pantai Timur dan sebahagian daripada Johor,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Husain berkata, pelaksanaan projek yang melibatkan infrastruktur, pembuatan dan pelancongan di Terengganu itu dapat merancakkan pelaburan luar dalam negara ini termasuk Pantai Timur.
“Sudah tentu peluang pekerjaan kepada penduduk terutama Terengganu semakin meningkat sekali gus meringankan beban rakyat berikutan kos sara hidup yang semakin mencabar.
“Justeru, saya berharap kerajaan dapat memberi perhatian dan pemantauan rapi juga terhadap projek-projek lain yang sedang berjalan di Pantai Timur sehingga siap bagi mengelakkan kelewatan dan penyelewengan berlaku.
“Hal ini demikian kerana, projek-projek ini sangat dinanti-nantikan oleh rakyat untuk dinikmati limpahan ekonomi darinya,” katanya.
LPT3 diluluskan pembinaannya pada 2019 dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM35 juta bagi kerja-kerja awalan.
Kerja awal LPT3 dimulakan pada 2020, dan sepatutnya sudah siap pada suku kedua 2022 atau April 2022.
Projek berkenaan bakal memberikan impak besar kepada Kelantan dalam mewujudkan satu koridor ekonomi baharu di pesisiran pantai sekali gus membantu melonjak kemajuan Pelabuhan Tok Bali.