Berita Utama

Melayu dah lama berpecah kerana puak ‘pencuri’: Tun M

GTA takkan berkerjasama dengan Melayu terbabit jenayah salah laku

PUTRAJAYA, 20 Muharam 1444H, Khamis – Gerakan Tanah Air (GTA) menafikan tuduhan bahawa penubuhannya adalah untuk memecahbelahkan orang Melayu.

Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, gerakan itu berperanan mewakili orang Melayu di negara ini, namun mengakui ia bukan meliputi kesemua bangsa itu.

Jelasnya, GTA tidak akan sesekali mewakili atau menyatukan sesetengah orang Melayu yang terbabit dengan jenayah salah laku atau terpalit sebarang pendakwaan di mahkamah.

“Tuduhan kita memecahbelahkan orang Melayu itu tidak benar. Ya, kita akui bahawa kita tidak boleh satu orang Melayu yang terlibat dengan jenayah, curi duit.

“Orang Melayu dalam gerakan ini adalah mereka yang tidak terlibat dengan jenayah, mereka yang berjuang untuk bangsa Melayu, negara ini dan agama Islam,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Presiden GTA, di sini hari ini.

Turut hadir Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim dan Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Dr Ibrahim Ali.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, orang Melayu di negara ini sudah lama berpecah ekoran wujudnya puak ‘pencuri’.

“Takkan kita nak bersatu dengan pencuri yang didapati bersalah dalam mahkamah.

“Sebab itu kita tidak boleh nak bekerjasama dengan mereka walaupun terdiri daripada orang Melayu. 

“Setiap hari kita dengan ada kes curi duit sampai berbilion ringgit, satu kapal pun tidak buat tetapi duit RM6 bilion hilang, sekarang nak tambah jadi RM11 bilion,” katanya dipercayai merujuk kes projek Kapal Tempur Pesisir (LCS).

Terdahulu, Dr Mahathir memaklumkan bahawa GTA akan memohon pendaftaran daripada pihak kerajaan, selain memutuskan satu logo khas gabungan itu.

“Dalam mesyuarat ini kita telah bersetuju supaya nama kita ini menekankan tanah air lebih daripada yang lain.

“Jadi, akan diadakan satu logo yang namanya ialah tanah air tetapi masih belum putuskan logo baharu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button