Berita Utama

MIC mahu 12 Parlimen pada PRU15, kerusi Melayu bakal tergadai lagi

Bukan hanya yang tradisi, malah mahu kerusi punya peratusan tinggi menang

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 20 Muharam 1444H, Khamis – Tuntutan demi tuntutan dibuat oleh MIC demi mendapatkan kerusi Parlimen, dan terbaharu permintaan mereka semakin menjadi-jadi apabila parti itu meminta 12 kerusi untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Hasrat itu bahkan sudah diserahkan kepada kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) untuk dipertimbangkan.

Jelas, mereka ‘berani’ membuat tuntutan sedemikian kerana tahu kelemahan dan ‘pemurahnya’ UMNO untuk menggadaikan kawasan majoriti Melayu bukan sahaja demi MIC tetapi juga MCA. 

Presiden BERJASA, Ustaz Haji Zamani Ibrahim berkata, jika hasrat ini ditunaikan, maka sangat jelas pengkhianatan UMNO kepada bangsanya sendiri kerana sanggup menggadaikan kawasan majoriti Melayu.

“MIC membawa agenda bangsa melalui partinya sama seperti MCA. Manakala UMNO pula membawa agenda untuk berkuasa dan menjadi kaya raya, laungan demi bangsa Melayu hanya tunggangan semata mata.

“Semua parti komponen BN sama-sama tamakkan kuasa demi agenda tersendiri. 

“Kalau sifat tamak sehingga sanggup menggadaikan kawasan Melayu, apakah parti yang berpenyakit ini mampu menjadi kerajaan dan membawa agenda kepentingan agama Islam, bangsa dan negara?

“Sedarlah, UMNO bukan sahaja tunduk kepada MCA dan MIC malah tidak mustahil akan bekerjasama dengan DAP untuk mentadbir negara ini,” dakwanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran hari ini berkata, partinya bercadang untuk bertanding di 12 kerusi Parlimen pada PRU15 dan perkara itu telah diserahkan kepada kepimpinan tertinggi BN untuk dipertimbangkan.

Beliau berkata, cadangan berkenaan melibatkan bukan hanya kerusi tradisi MIC tetapi juga kawasan yang mempunyai peratusan tinggi untuk parti itu menang.

Katanya, MIC masih membincangkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ingin ditandingi dan senarainya akan diserahkan kepada kepimpinan BN dalam masa terdekat.

Pada PRU14, MIC bertanding di sembilan kerusi Parlimen dan 18 DUN.

Untuk rekod, dalam PRU14, MIC mengalami kekalahan teruk apabila hanya mampu memenangi dua kerusi Parlimen.

Namun, Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan C Sivarraajh di Parlimen Cameron Highlands.

Percaya bahawa terdapat kemungkinan besar UMNO akan memberikan kerusi seperti yang diminta MIC, Ustaz Zamani menggesa rakyat supaya sedar akan hakikat ini.

Rakyat kini, katanya, perlu memilih pemimpin serta parti yang benar-benar beriltizam memacu pembangunan negara dari segala aspek.

“PRU15 adalah peluang rakyat untuk kita memilih calon berwibawa dan sekali gus membetulkan sistem negara yang sudah rosak.

“BERJASA menyeru kepada rakyat keseluruhannya, Gerakan Tanah Air adalah harapan terakhir bagi rakyat untuk membina semula negara dan memposisikan kekuasaan bangsa tonggak di dalam pentadbiran negara. 

“Sumber nasional yang kaya di negara ini perlu dibangunkan, keupayaan untuk memproses dan memperkasa sumber tersebut mesti diusahakan sehingga Malaysia menjadi negara yang disegani dan bermaruah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button