Berita Utama

Penyatuan parti politik Melayu penting elak pertembungan

Pemerintahan PH selama 22 bulan bawa banyak masalah

BANGI, 20 Muharam 1444H, Khamis – Penyatuan parti-parti politik Melayu Islam perlu bagi mengelakkan pertembungan seperti yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin berkata, kemenangan Pakatan Harapan (PH) – ketika itu – jelas menjadi mimpi ngeri buat rakyat dan negara.

“Pemerintahan PH selama 22 bulan telah membawa banyak masalah bukan sahaja kepada kepentingan rakyat bahkan juga kepada kedaulatan negara dan kepentingan umat Islam serta Bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, beliau berkata, PAS akan terus berusaha menjayakan penyatuan ummah dan memberi fokus bagi memastikan agenda satu lawan satu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dicapai.

“Prinsip PAS dalam politik adalah jelas dan PAS akan berusaha menyatukan parti-parti politik Melayu sebelum PRU15 melalui apa jua kaedah dan cara selagi tidak bercanggah dengan syariat dan dasar parti.

“Penyatuan ummah ini akan dilakukan dengan berasaskan kepada tiga prinsip utama yang telah digariskan oleh Presiden PAS, YB Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasar beliau iaitu adil kepada semua, satu Keluarga Malaysia dan Islam memimpin.

“Seiring dengan slogan ‘Islam Menyatukan Ummah’, PAS menyeru kepada semua pihak untuk mendukung agenda penyatuan ummah ini dan bersama membina semula negara Malaysia yang sejahtera,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button