Berita Utama

King Sing patut buru 1.2 juta pelancong China ‘hilang’ di Malaysia

Mahu bongkar rasuah tapi kenapa lepaskan pelancong langgar syarat kemasukan?

BANGI, 17 Zulhijjah 1444H, Khamis – BERJASA menyarankan Perdana Menteri memberi tanggungjawab menyiasat dan memburu keberadaan 1.2 juta pelancong China yang dikesan tidak keluar dari Malaysia, selepas tiba di negara ini kepada Datuk Seri Tiong King Sing.

Presiden BERJASA, Haji Zamani Ibrahim berkata, itu adalah tugas utama yang sepatutnya dilakukan oleh seorang Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.

Beliau menegaskan, isu pelancong yang tidak keluar dari Malaysia dari tempoh antara 2018 hingga 2021 adalah membahayakan negara dan ia sepatutnya menjadi keutamaan menteri serta Perdana Menteri jika serius mahu menjaga keamanan.

“Seorang yang dihalang masuk kerana tidak memiliki tiket pulang ke negara asal dilepaskan, sedangkan di negara kita ada 1.2 juta (pelancong China) yang tidak balik. Apa yang terjadi? Kita tutup mata saja ke?

“Seorang yang masuk kita beria-ia lepaskan, tetapi 1.2 juta yang masuk kita senyap. Mungkin ada sindiket yang menyembunyikan mereka,” katanya dalam video yang dimuat naik di Facebooknya.

Sebelum ini, King Sing mengakui beliau adalah individu yang dilaporkan terbabit dalam kekecohan di ruang ketibaan antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ia berikutan tular gambar dan laporan berita yang mendakwa King Sing campur tangan dalam urusan melepaskan seorang pelancong dari China, namun dinafikan Ahli Parlimen Bintulu itu.

Sebaliknya, beliau mendakwa, kehadirannya di KLIA membongkar satu peristiwa yang memalukan negara apabila wujudnya budaya rasuah yang dilakukan oleh segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa yang kronik di pintu masuk negara.

Mengulas perkara itu, Zamani mempersoal perkaitan campur tangan King Sing melepaskan pelancong China dengan tindakan membongkar budaya rasuah.

“Kalau ada kes rasuah, kenapa menteri pelancongan yang beria-ia melepaskan orang yang tak layak untuk kita benarkan masuk negara kita, sedangkan mereka tidak ada tiket balik dan mereka tidak tahu di mana tempat mereka nak tinggal di negara kita ini.

“Isu ini penting jadi saya mahu isu ini beralih kepada isu pokok. Isu pokoknya ialah pencerobohan tatakelola oleh Menteri Pelancongan.

“Yang keduanya, Menteri Pelancongan bertindak di luar bidang kuasa dia jika babit bab rasuah yang berlaku,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button