Dunia

Pesakit cacar monyet perlu asing diri dari haiwan peliharaan: WHO

Bimbang virus menular ke spesies lain boleh mutasi ke lebih bahaya

GENEVA, 20 Muharram 1444H, Khamis – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa individu yang dijangkiti cacar monyet untuk mengasingkan diri daripada haiwan peliharaan susulan kes pertama penularan dari manusia ke anjing dilaporkan.

Kes pertama penularan cacar monyet dari manusia ke anjing – babitkan dua lelaki dan anjing jenis ‘greyhound Itali’ yang tinggal bersama di Paris – dilaporkan minggu lalu dalam jurnal perubatan The Lancet.

“Ini adalah kes pertama yang dilaporkan penularan manusia ke haiwan… dan kami percaya ia adalah contoh pertama seekor anjing dijangkiti,” kata Ketua Teknikal WHO, Rosamund Lewis.

Katanya, pakar telah menyedari risiko itu akan berlaku dan agensi kesihatan awam telah menasihati mereka yang positif cacar monyet untuk mengasingkan diri daripada haiwan peliharaan mereka.

Di samping itu, Lewis berkata, pengurusan sisa juga perlu kritikal untuk mengurangkan risiko mencemari tikus dan haiwan lain di luar rumah.

Beliau berkata, penting untuk orang ramai mempunyai maklumat mengenai cara melindungi haiwan peliharaan mereka serta kaedah menguruskan sisa supaya haiwan lain tidak terdedah kepada virus cacar monyet.

Apabila virus menular ke spesies lain, ia mencetuskan kebimbangan bahawa jangkitan itu boleh bermutasi ke arah yang lebih berbahaya.

Namun, dia mengakui sebaik sahaja virus itu bergerak ke persekitaran dan populasi berbeza, terdapat kemungkinan bahawa ia akan menular serta bermutasi secara berlainan.

Pengarah Kecemasan WHO, Michael Ryan berkata, kebimbangan utama adalah terhadap risiko penularan kepada haiwan di luar rumah.

“Situasi yang lebih berbahaya… ialah di mana virus boleh berpindah ke populasi mamalia kecil dengan kepadatan haiwan yang tinggi.

“Melalui proses satu haiwan menjangkiti haiwan seterusnya dan seterusnya dan seterusnya, anda akan lihat evolusi virus yang pantas,” katanya.-  Agensi

Berita berkaitan;

Kes pertama cacar monyet dari manusia ke anjing

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button