Berita Utama

PH belum buat keputusan jalin kerjasama dengan mana-mana parti

PKR baru sahaja muktamad kepimpinan baharu

KUALA LUMPUR, 20 Muharam 1444H, Khamis – Pakatan Harapan (PH) belum membuat keputusan mengenai kemungkinan kerjasama dengan mana-mana parti lain untuk pilihan raya umum akan datang, kata Fahmi Fadzil.

Ketua Komunikasi PH itu berkata, gabungan itu masih belum memutuskan sama ada ia akan bekerjasama dengan mana-mana parti lain untuk menentang perikatan Barisan Nasional-Perikatan Nasional yang memerintah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, walaupun Majlis Presiden Pakatan bermesyuarat dari semasa ke semasa, ia masih belum menetapkan tarikh perbincangan mengenai perkara ini.

“Sehingga kini, tiada maklumat terkini,” katanya pada sidang media di Pusat Media Pakatan yang baru ditubuhkan, hari ini.

Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR menjawab, persoalan sama ada PH bercadang untuk bekerjasama dengan parti pembangkang kebangsaan lain seperti Malaysia United Democratic Alliance (Muda) atau Parti Warisan pada PRU15.

Sementara itu, Fahmi seperti dilapor The Star berkata, PKR baru sahaja memuktamadkan kepimpinan baharu selepas pemilihan dalaman dan pemegang jawatan baharu itu memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan tanggungjawab mereka.

Pada 1 Ogos lalu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dipetik sebagai berkata PH sedang menyusun semula manifestonya seiring dengan perbincangan mengenai peruntukan kerusi dengan sekutunya menjelang pilihan raya umum akan datang.

Ahli Parlimen Seremban itu menyebut bahawa kerjasama dengan Muda akan diteruskan tetapi DAP akan menyerahkan kepada mereka untuk memutuskan sama ada ia bersedia untuk menyertai PH sebagai ahli gabungan kelima selepas DAP, PKR, Parti Amanah Negara dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) yang berpangkalan di Sabah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button